Sekilas
- Noraniza Idris menganggap peluang terus aktif dalam industri seni sebagai bonus selepas suaminya mencadangkan dia berhenti menyanyi pada usia 58 tahun.
- Suaminya memberi izin untuk Kak Ani meneruskan kerjaya sementara bagi merealisasikan impian yang belum tercapai.
- Antara impian Noraniza adalah mengadakan showcase sempena 40 tahun dalam industri dan menghasilkan album terakhir sebelum bersara.
Penyanyi, Noraniza Idris menyifatkan peluang untuk terus aktif dalam industri seni ketika ini sebagai satu bonus memandangkan suaminya pernah mencadangkan dirinya berhenti menyanyi pada usia 58 tahun.
Menurut Noraniza yang lebih mesra disapa Kak Ani, suaminya memberi ruang untuk dia meneruskan kerjaya buat sementara bagi merealisasikan beberapa impiannya yang belum dicapai.
“Sebenarnya bila dah sampai satu tahap, umur pun dah 58 tahun, kalau ikutkan suami dah suruh berhenti menyanyi.
“Tapi masih ada cita-cita saya yang belum tercapai. Jadi suami lepaskan (beri izin).
“Saya rasa ini adalah satu durasi bonus yang diberikan. Saya hanya buat sehabis baik dan saya akan tunaikan hajat suami bila sudah capai impian tersebut,” katanya kepada Gempak.
Berkongsi mengenai hasrat yang masih belum tercapai, penyanyi itu berharap dapat mengadakan sebuah showcase bagi meraikan 40 tahun penglibatannya dalam industri seni.
Malah, pelantun lagu Salam Kaut ini turut menyimpan impian untuk menghasilkan sebuah album terakhir sebelum bersara dari dunia nyanyian.
“Impian mengadakan konsert memang belum pernah tercapai. Mungkin bukanlah satu konsert besar tapi sekurang-kurangnya sebuah showcase dalam 40 tahun penglibatan dunia seni.
“Itu adalah antara cita-cita saya yang masih belum tercapai. Mungkin ada sebuah album lagi sebelum saya menutup tirai (bersara). Takkan kita nak menyanyi sampai umur 60 lebih tahun.
“Insya-Allah saya akan buat dalam masa yang singkat ini tapi kita nak tenang-tenang saja. Moga semua berjalan lancar,” tambahnya.