Astro Originals mempersembahkan sebuah drama premium terbaru berjudul One Cent Thief diinspirasikan daripada peristiwa sebenar yang pernah menggemparkan Malaysia sebelum ini.

Bagaimanapun naskhah ini diolah untuk menghasilkan sebuah jalan cerita baru dengan diselitkan nilai komersial untuk tontonan.

Menurut Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, Astro Originals akan terus mempersembahkan karya-katya berkualiti.

Menerusi Astro Originals, kami terus komited mempersembahkan karya-karya berkualiti yang mampu memberikan pengalaman berbeza kepada penonton dan sekali gus mengangkat drama tempatan setanding dengan naskhah antarabangsa.

“Kali ini penerbit Astro menampilkan sebuah drama premium yang diinspirasikan daripada peristiwa yang pernah berlaku di Malaysia.

“Lebih menarik ia adalah naskhah pertama negara yang membawakan jalan cerita tentang penggodam siber yang mencuri hanya wang berjumlah 1 sen daripada setiap penyimpan bank.

“Kami percaya jalan cerita segar yang dipersembahkan melalui One Cent Thief mampu diterima oleh penonton daripada pelbagai latar dan naskhah ini akan ditayangkan di saluran Melayu, Inggeris, Tamil dan Cina.

“Kami harap One Cent Thief dapat dilihat sebagai sebuah karya berkelas internasional dan menjadi satu naskhah seni kebanggaan negara.

“Bukan itu sahaja malah mampu menarik penonton dari negara luar seterusnya mengalihkan pandangan dunia kepada hasil karya-karya terbaik Malaysia,” ujarnya.

One Cent Thief dibintangi oleh Syafiq Kyle, Faizal Hussein, Azira Shafinaz, Sofia Jane, Amerul Affendi, Fabian Loo, Aghonderan Sahadevan, Carmen Soo, Sathisvaran Magesvaaran, Rubi Rubini, Amir Nafis, Fadhli Masoot, Zain Hamid, Aleza Shadan, Syed Irfan dan Airiezara Jasmin.

Selain itu, turut menampilkan kemunculan istimewa Tan Sri Nazir Razak.

Drama premium yang mengetengahkan genre jenayah thriller ini merupakan idea asal oleh showrunner (pencipta) Alfie Palermo yang turut terlibat sebagai ketua pasukan penulis Astro Shaw (writers' room) bersama penulis lain, Natasha Azlan, Ashraf Modee Zain, Zaim Zakki.

Alfie Palermo terdahulu tampil dengan idea asalnya menerusi drama premium Dukun Diva, di samping pernah memenangi anugerah Skrip Terbaik di Anugerah Internasional Motivational Film Festival Bridge of Arts (IMFF), Rusia pada tahun 2016 dan Lakon Layar Terbaik di Anugerah Lawak Warna 2015.

Manakala karya ini mendapat sentuhan oleh pengarah muda yang semakin meningkat naik dalam kalangan penonton sejak mengarahkan telemovie seperti Cerai, Rompak Raya, dan drama premium Dukun Diva, iaitu Ariff Zulkarnain.

One Cent Thief juga turut menjalinkan kerjasama bersama air minuman Gong Cha dalam pemasaran. Penonton boleh menikmati minuman dari Gong Cha dengan harga promosi 1 sen bermula 7 Oktober sehingga 21 Oktober 2022.

Terdahulu Astro Originals telah menampilkan deretan drama siri premium daripada pelbagai genre, nilai hiburan berbeza serta olahan jalan cerita segar seperti diinspirasikan dari pendedahan isu-isu yang sememangnya berlaku dalam kalangan penonton seperti ‘Kampong Pisang Bersiri-Siri’ (francais filem komedi nombor 1 negara), ‘Projek: Anchor SPM’ (memperkenalkan genre coming of age), ‘I-Tanggang’ (mengetengahkan isu realiti penderitaan mental Munchausen Syndrome by Proxy), ‘Dukun Diva’ (angkat kisah female con artist dan anti-heroes), ‘Kuasa’ (kisah fiksyen sebuah keluarga berpengaruh dalam dunia hiburan), ‘Histeria The Series’ (kesinambungan filem box office 2008, Histeria), Murder By Moon Light (ketengahkan genre Witty Murder Mystery “Whodunnit”).

Saksikan One Cent Thief bermula 8 Oktober, setiap Sabtu, jam 9 malam.

Buat pertama kalinya drama premium di bawah jenama Astro Originals akan ditayangkan serentak di empat saluran berbeza bahasa iaitu Astro Ria HD (saluran 104), Astro Vinmeen HD (saluran 202), Astro Shuang Xing De (saluran 307) dan PRIMEtime (saluran 704).

Penonton juga berpeluang menonton setiap episod baharu seminggu lebih awal daripada tayangannya di saluran linear setiap Sabtu jam 12 tengah malam menerusi strim di platform Astro Go atau On Demand.