Usahawan Datin Vivy Yusof tampil memberi penjelasan mengenai kritikan orang ramai mengenai penjualan produk-produk bertemakan Palestin yang dilancarkan bagi meraih dana untuk negara yang bergolak itu.

Vivy menerusi kemas kini di Instagram berkata, mereka tidak mengambil sebarang keuntungan menerusi penjualan koleksi berkenaan. Menurut Vivy, segala keuntungan disalurkan sepenuhnya ke Viva Palestina Malaysia bagi membantu rakyat Palestin yang terkesan.



“Seluruh keuntungan disalurkan kepada Viva Palestina Malaysia bagi membantu hospital-hospital, bekalan perubatan, tempat perlindungan dan dari segi bekalan makanan.

“Tiada bayaran balk cukai untuk ini. Anda boleh sahkan dengan VPM. Ramai yang meminta kami untuk mengembalikan koleksi ini sebab mereka nak pakai bagi sesuatu bagi menunjukkan solidariti terhadap Palestin.

“Apabila mereka mengenakan koleksi ini, ia akan membantu menyebarkan kesedaran terhadap perkara ini. Kami hanya menyediakan apa yang dihajatkan, tanpa mengambil keuntungan, sebab itu juga sebagai salah satu cara untuk sebarkan kesedaran,” katanya.

Dalam pada itu, Vivy turut menyokong jika ada dalam kalangan individu yang ingin menghulurkan derma menerusi badan bukan kerajaan (NGO).

“Orang ramai juga boleh menderma terus kepada NGO. Silakan! Itu yang saya kongsikan selama berhari-hari dan dUCk juga pernah menyarankan sedemikian dalam setiap hantaran. Kami juga telah memberikan butiran akaun bank untuk anda,” katanya lagi.



Untuk rekod, Vivy menerusi Duck telah berjaya meraih RM2.3 juta untuk disalurkan kepada Palestin.

Selain itu, Vivy turut memberitahu yang rekaan terjual bukanlah rekaan baharu. Ia merupakan rekaan lama yang pernah dipasarkan pada 2021.

BACA: GV10: “Saya Selalu Berdoa Agar Sentiasa Sihat Untuk Buat Persembahan” - Ayai​