Dikurniai Anak Ketujuh Down Syndrome, Faizal Tahir: “Saya Sangat Perlukan Anak Ini”
Pelaku seni Faizal Tahir berkongsi sebuah video yang sangat menyentuh hati dan memberi inspirasi apabila mendedahkan beliau dan isteri baru menyambut kelahiran anak ketujuh mereka.
Istimewanya, anak ketujuh yang merupakan seorang perempuan ini dedah Faizal merupakan anak istimewa down syndrome.
Memulakan videonya dengan memperkenalkan nama anak mereka sebagai Maryam Tahirah Ahmad Faizal yang merupakan gabungan nama isteri Nabi Muhammad SAW, Maryam dengan nama arwah bapanya, Tahir, penyanyi tersebut menyifatkan dia sebagai anak istimewa yang diberikan Allah kepada mereka.
“Maryam ini adalah anak kami yang Allah beri keistimewaan, Alhamdulillah sangat sangat special kepada saya.
“Maryam ni sewaktu di dalam kandungan isteri saya, doktor dapat kesan beberapa masalah, komplikasi. Mula mula tu jantung. Kemudian disahkan sebagai Tetralogy of
Fallot (TOF) di mana campuran darah dan oksigen tak cantik,” cerita Faizal dalam video yang dimuat naik menerusi Facebook miliknya, hari ini.
Faizal kemudian menjelaskan beliau dan isteri sudah bersedia dari segi mental, fizikal serta kewangan untuk menyambut anak istimewa mereka ini.
Apalagi beberapa bulan kemudian selepas melakukan pemeriksaan lagi doktor mengesan terdapat masalah lain kesan dalam perut dan apabila dikaitkan dengan kompilasi jantung (TOF) menjadikan ia down syndrome.
“Sebulan sebelum isteri saya bersalin, sah anak memang Down Syndrome.
“Saya menerimanya dengan baik. Redho. Alhamdulillah, itu yang Allah bagi. Saya tak ada rasa down ke, frust ke, tak ada,” ucap Faizal sambil tersenyum.
Malah satu hal yang membuatkan dirinya sangat bertuah apabila perkongsian berita dirinya mendapat Maryam Tahirah yang down syndrome, disambut baik orang sekeliling yang menyifatkan dirinya beruntung kerana dipilih dan diberikan anak istimewa.
Beliau juga menjelaskan sewaktu diberi penerangan oleh doktor mengenai Maryam dan bagaimana perlu menjaganya dengan perhatian yang lebih, Faizal berasa sebaliknya.
“This baby really needs you. Masa doktor cakap macam tu dekat saya, benda yang terdetik dekat saya punya hati, dekat fikiran saya, ‘salah tu, bukan anak saya yang sangat perlukan saya.
“Saya yang sangat perlukan anak ini untuk saya menjadi manusia yang lebih baik, saya lebih bersyukur, saya boleh improve diri saya sebagai seorang hamba Allah.
“Inilah yang membuat saya rasa sangat bersyukur bila Allah hantar benda macam ni dengan satu niat yang sangat baik.
“Kita kena selalu bersangka baik dengan Allahkan,” katanya.
Pada akhir video Faizal mengatakan bersyukur dan masih positif dengan anugerah yang diperolehnya kini, namun sedar masih akan ada banyak lagi ujian pada kemudian hari.
Faizal dan isteri dikurniakan tiga anak lelaki dan empat perempuan termasuk Maryam Tahirah.