Laman Utama
Dituduh Kes Seksual Ke-11 & 12, PU Azman Mohon Doakan Dirinya…
Pendakwah selebriti, PU Azman yang lebih dikenali sebagai Cik Man, dituduh atas pertuduhan ke-11 dan 12, di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, pada Khamis, melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun, lima tahun lalu.
Azman, 41, nama sebenar Azman Syah Alias mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Azman yang hadir di mahkamah dengan memakai kurta biru, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di bilik sebuah rumah inap desa, di Jalan Kebun di sini pada jam 12 tengah malam dan 5.30 pagi, September 2017.
Advertisement
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zatil Hidayah Ali berkata, kesalahan itu termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.
"Namun, sekiranya mahkamah mahu mengguna pakai budi bicara untuk memberikan ikat jamin, pendakwaan mencadangkan ia ditetapkan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa serta saksi," katanya.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Fahmi Adilah merayu agar anak guamnya dikenakan ikat jamin yang minimum dengan alasan pendapatannya terjejas ekoran kes tersebut.
"Dia didakwa atas 10 pertuduhan lain bagi kes sama di Seremban, Klang dan Ampang, malah telah menggunakan wang simpanannya untuk menjelaskan keseluruhan ikat jamin sebanyak RM74,000.
"Maka saya dengan rendah diri, memohon kadar ikat jamin itu dikurangkan seminimun mungkin," katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rasyihah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan 30 Januari tahun depan.
Mahkamah turut memerintahkannya untuk memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis terdekat dan tidak mengganggu mangsa serta saksi.
Di Mahkamah Sesyen Seremban, dia dituduh pada 12 Oktober, atas lima kes melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki berusia 17 tahun, Februari dan Julai lalu.
Pada 7 Disember lalu, dia didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Klang, atas empat pertuduhan melakukan amang, komunikasi seksual dan kelucahan melampau terhadap tiga remaja lelaki 17 dan 19 tahun, pada Februari hingga Ogos lalu.
Azman didakwa buat kali ketiga pada 21 Disember, di Mahkamah Sesyen Ampang, atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun, Julai lalu.
Ketika ditemui selepas prosiding, Azman memohon doa daripada peminat-peminatnya dan menzahirkan penghargaan kepada pemberita yang setia menunggu prosiding tersebut.
"Assalamualaikum, terima kasih kerana menunggu dan doakan saya," katanya.
Sumber: Sinar Harian
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.
Must-Watch Video