Sekilas
- Amira Othman berkongsi kegembiraan melihat ikatan erat antara anaknya, Jarir Umar, dan kakaknya, Nur Fatima Aisya.
- Amira berharap kedua-dua anaknya akan sentiasa berkasih sayang dan saling melindungi antara satu sama lain.
- Amira terbuka untuk berkongsi wajah Jarir di media sosial pada masa yang sesuai, dengan suaminya, Fattah Amin, yang akan membuat perkongsian tersebut.
Penyanyi, Amira Othman mengakui seronok melihat ‘bonding’ anaknya, Jarir Umar dan kakaknya, Nur Fatima Aisya.
Menurut Amira atau nama lengkapnya Nadia Amira Othman, dia dapat melihat keterujaan Fatima setiap kali berpeluang meluangkan masa bersama Jarir.
Ujar pelantun lagu Hati-Hati ini, sebagai seorang ibu, dia sangat teruja dan berdoa agar kedua anaknya itu dapat berkasih sayang selama-lamanya.
“Fatimah sayang adik dia. Setiap kali datang rumah pun memang dia teruja kalau nampak Jarir. Bila daddy (Fattah Amin) dia cium Jarir lebih-lebih pun dia akan cakap, "Daddy nanti Jarir sakit”.
“Saya rasa dia sangat sweet dan matang. Dia faham yang Jarir adik dia, dandia sayang
adik dia.
“Perkara itu membuatkan saya amat mengagumi Fatimah, dan saya harap Fatimah dan Jarir berkasih sayang sampai bila-bila, dan mudah-mudahan Jarir juga dapat lindungi kakak dia sampai bila-bila,” katanya kepada Gempak.
Amira berkata demikian ketika ditemui di pelancaran lagu terbaharunya yang berjudul Jarir Umar bertempat di CAVAHALL, Ara Damansara, pada Jumaat.
Ditanya mengenai kesediannya untuk berkongsi wajah Jarir, isteri kepada pelakon Fattah Amin ini memaklumkan dia terbuka untuk berkongsi namun akan menunggu masa yang sesuai.
“Insya-Allah saya mungkin akan kongsikan juga tak lama lahi kerana saya pun nak anak saya membesar seperti orang biasa kan.
“Takkanlah saya keluar saya nak sembunyi-sembunyi anak saya, kasihan kat dia kan. Insya-Allah kita akan kongsi untuk memberitahu bagaimana rupa Jarir tetapi yang bapa dia yang akan post,” kongsinya lagi.
Untuk rekod, Amira dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 14 September 2025. Pasangan itu dikurniakan cahaya mata pertama mereka, Jarir Umar pada 23 Jun lalu.