Laman Utama

Dituduh ‘Over’ Kongsi Kisah Suami Berkorban Bangun Malam Tukar Pampers Anak, Elisya Sandha - “Saya Tak Perlukan Justifikasi Mereka”

gempak
Izwan Isa
13/07/2022
00:50 MYT
Sponsor Banner
Dituduh ‘Over’ Kongsi Kisah Suami Berkorban Bangun Malam Tukar Pampers Anak, Elisya Sandha - “Saya Tak Perlukan Justifikasi Mereka”
Baru-baru ini, pelakon Elisya Sandha meraikan majlis aqiqah anak perempuanya, Bunga Elhaq pada Hari Raya Aidiladha.
Bagi berkongsi dengan peminat dan pengikut, gambar-gambar sekitar majlis sambutan serba polos itu dimuat naik Elisya menerusi Instagramnya.
Selain gambar, Elisya turut menukilkan pesanan istimewa buat suaminya, Uzair Haqimy yang juga merupakan anak kepada pasangan penerbit Sheila Rusly dan pengarah Jinggo.
Menerusi nukilan berkenaan, Elisya bercerita tentang pengorbanan suaminya yang bangun setiap malam bagi menukar lampin pakai buang anaknya selain memberikan susu.
Begitupun, perkongsian Elisya itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen. Menurut pengguna media sosial, sudah memang menjadi tanggungjawab buat ibu dan bapa untuk menjaga anak dan hal tersebut bukanlah satu hal luar biasa yang harus dibincang.
Enggan melayan karenah netizen, adik kepada Fasha Sandha itu berkata, apa yang diluahkan di Instagram adalah ditujukan untuk suami dia ia adalah bersifat peribadi.
“Jadi, saya bukan mahu mendabik dada dan memeningkan kepala memikirkan kata sinis netizen atau yang berbaur negatif. Saya tak memerlukan justikasi mereka (netizen) dalam hal ini.
“Saya juga percaya ruang menulis dan berkongsi apa saja bentuk perkongsian di media sosial tidak memerlukan pandangan mereka (netizen),” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Elisya berkata, selagi apa yang dikongsikan itu tidak bersifat buruk, ia bukanlah menjadi satu hal yang besar dalam kehidupan hariannya.
“Selagi saya rasa ia masih okey dan baik untuk dikongsi dan dizahirkan, ia takkan menjadi kudis pun. Hidup ini bukan sentiasa atau setiap masa perlu melihat segala sudut pandangan orang lain. Kalau asyik memikirkan pandangan orang, mungkin kita takkan ke mana-mana.
“Saya anggap luahan itu (kepada suami) adalah bentuk dedikasi jujur. Mereka juga boleh melakukan perkara sama. Tapi ia terpulang kepada terjemahan org lain yang mungkin fikir ia seperti poyo atau apa saja tafsiran negatif,” katanya lagi.
Untuk rekod, Elisya dan Uzair bernikah pada 21 Ogos tahun lalu. Bunga pula dilahirkan secara pembedahan pada 18 Jun lalu di sebuah hospital di Ampang.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live