Pelakon Ramona Zamzam terpaksa berehat selama seminggu daripada menggunakan media sosialnya ekoran terganggu dengan peristiwa dahsyat yang berlaku di tanah kelahiran suaminya, Palestin.

Jelas Ramona, tindakannya untuk 'lari' dari berkongsi hal yang berlaku di Palestin bukan bermakna dia tidak mengambil tahu apa yang berlaku di sana.

"Terima kasih kepada yang menyokong Palestin. Yang tanya pasal Rami dan keluarganya, saya sangat hargai.

"Alhamdulillah, mereka semua okey, keluarganya tidak berada di Malaysia tetapi di negara lain.

"Ya betul, Rami masih ada saudara-mara di Gaza dan media sosial sekarang dihujani dengan visual keganasan di sana.

"Saya sendiri mengambil pendekatan untuk berehat dari media sosial sejak seminggu lalu. Dada saya sakit, hati saya hancur melihat segala video yang dikongsikan. Saya terlalu lemah," jelasnya.



Biarpun suaminya, Rami Alashkar kini menetap di Malaysia, solidariti dan sokongan masih utuh buat keluarganya di bumi bergolak itu.

Rami antara keluarga yang diusir Israel dari tanah mereka sendiri dan terpaksa merantau ke negara lain bagi mencari penempatan baharu.

"Rami sendiri sentiasa berhubung dengan keluarganya di Palestin.

"Saya akan menjelaskan isu buat yang bertanya adakah Rami akan pulang ke Palestin. Jawapannya tidak, Rami dan keluarganya tidak dibenarkan balik ke Palestin selama-lamanya.

"Kenapa? Sebab tanah mereka adalah salah satu tanah yang telah diambil oleh orang Israel dan mereka sudah keluar dari negara itu sejak sekian lama.

"Dari kecil keluarga Rami dah berpindah-randah ke negara lain dan itu cara mereka untuk survival. Jarang jumpa? Oh, mereka sudah biasa.

"Sudah 9 tahun Rami tak berjumpa bapanya, kali terakhir bertemu dengan ibunya semasa saya baru habis pantang (awal 2018) itu pun sebab dia gagahkan juga datang ke Malaysia untuk berjumpa cucunya.

"Rami tak pernah mengeluh. Manakala kita suka-suka hati nak langgar SOP untuk ke sana ke sini berjumpa orang.

"Saya perlukan masa untuk memproses apa yang sedang berlaku sekarang. Kamu tidak akan faham apa yang sedang saya lalui. Tangan saya pun masih menggigil ketika menulis perkara ini.," cerita Ramona.

Justeru, tegas Ramona tindakannya berdiam diri daripada berkongsi perkara di Palestin bukan membuktikan dia seorang pro-zionis.

"Untuk yang menuduh saya pro-zionis, tolonglah berhenti. Hanya kerana saya tidak upload apa-apa berkaitan Palestin tidak bermakna saya tak sokong. Gilakah? Saya berkahwin dengan orang Palestin.

"Media sosial ni bukan segala-galanya, kamu boleh kongsikan apa saja. Saya tak mahu hipokrit hanya kerana orang lain berkongsi hal yang sama.

"Tuduhan saya pro-zionis merepek sekali," tambahnya.

Untuk rekod, Ramona dan Rami telah mendirikan rumah tangga pada 1 Mei 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Ivanna Alaskhar yang kini berusia 4 tahun.