Penceramah berstatus selebriti Ustaz Don Daniyal telah dilantik sebagai pengarah syarikat legasi Allahyarham Tuan Guru Datuk Ismail Kamus, Kaseh Al Wafi Sdn. Bhd.

Menurut Ustaz Don, kenangan bersama Allahyarham Tuan Guru Ismail Kamus sejak 13 tahun lalu membuatkan dia bersetuju untuk mengetuai syarikat tersebut.

“Alhamdulillah syukur di atas pelantikan ini. Sebenarnya perkenalan awal dan Allahyarham Tuan Guru telah dimulakan pada tahun 2008 dimana secara tidak dirancang, saya terpaksa menggantikan kuliah beliau di sebuah surau di Bangi.

“Pada masa itu saya baru sahaja seminggu berhijrah ke negeri Selangor,” jelas Ustaz Don menerusi satu kenyataan yang dihantar kepada Gempak.

Menumpukan pada produk pemakanan sunnah di bawah jenama Az-Zayt seperti minyak zaitun dan habbatus sauda, Ustaz Don mahu lebih ramai orang tahu tentang khasiat di sebalik bahan sihat ini.

“Sebagai Pengarah Syarikat, saya akan memberi penekanan kepada promosi dan pemasaran produk Az-Zayt agar lebih ramai akan menyedari khasiat di sebalik pemakanan sunnah ini.

“Kini legasi Allahyarham Tuan Guru Ismail dalam memasarkan produk pemakanan sunnah di bawah jenama Az-Zayt di kalangan masyarakat Islam Malaysia akan saya sambung dan buat dengan sehabis baik,” ujarnya lagi.

Imbas kembali, Allahyarham Ismail menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 8 Mei 2020 di kediamannya di Ampang, Kuala Lumpur.