Seluruh rakyat Malaysia terutama peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden serangan terhadap pemain Harimau Malaya dan pasukan Selangor FC, Faisal Halim pada 5 Mei 2024.
Faisal telah mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.
Sempat ditempatkan di lokasi rahsia, Faisal akhirnya membuat kemunculan perdana selepas lebih satu bulan insiden buruk yang menimpa dirinya.
Pada majlis sidang media yang berlangsung, Faisal menunjukkan kesan kecederaan akibat disimbah asid selain membuat pengakuan hampir berputus asa untuk bermain bola.
“Saya katakan kepada keluarga saya, saya tidak kisah hilang gaji saya berpuluh ribu, saya hanya mahu pulang ke kampung untuk tenang.
"Saya sanggup bekerja dengan gaji RM100, RM50 sehari asalkan keluarga saya selamat, saya tidak perlu hidup dalam ketakutan,” katanya.
Namun beliau memperoleh semangat untuk kekal bermain bola atas sokongan semua pihak.
Kes ini bagaimanapun masih dalam siasatan pihak berkuasa termasuk belum menemui individu yang telah melakukan khianat terhadap Faisal.