Kurang 24 jam lagi, filem yang mengutip lebih 2.5 juta penonton di Indonesia bakal memulakan tayangannya di Malaysia.

Selepas majlis tayangan perdananya minggu lepas, rata-rata penonton memberi reviu yang sangat baik.

Kehebatan mengenai filem arahan Gina S. Noer ini sudah mula menjadi sebutan di kalangan netizen di Twitter.

Antaranya ciapan daripada pengguna Twitter, @TheOnlyFatin yang memberitahu Dua Garis Biru adalah antara filem yang patut korang tonton tahun ini!

“This is another good movie and meaningful to watch!”, tulis Fatin.

Sementara itu seorang lagi yang dikenali sebagai @zaimyusoff67 berkata, filem yang mengangkat kisah Dara (Zara JKT48) dan Bima (Angga Yunanda), yang terlanjur sehingga hamil anak luar nikah ini sebagai filem remaja paling matang dan seimbang untuk beberapa tahun ini.

Malah Zaim berpendapat, filem Dua Garis Biru sudah meninggalkan pembikin filem remaja di negara kita jauh ke belakang.

“Wahai pembikin-pembikin sinema remaja Malaysia, ketahuilah #DuaGarisBiru sudah meninggalkan kita jauh ke hadapan!

“Dan ketahuilah sutradaranya merujuk kepada arwah Yasmin Ahmad dalam perjalanan kepengarahannya! #DuaGarisBiru filem remaja paling matang dan seimbang untuk beberapa tahun ini!,” ciapnya.

Bukan setakat itu, Zaim telah menulis reviu mengenai filem tersebut menerusi bebenang di Twitternya dan dianggap sebagai reviu terbaik oleh warga Twitter.

Antara bebenang yang menjadi perhatian warga Twitter ialah pendapat Zaim mengenai intipati filem ini yang seimbang ketika mengangkat isu serius mengenai kehamilan luar nikah remaja, tetapi masih boleh membuat audien ketawa.

“Filem ini sangat istiqamah dengan teenage vibenya, meski apa yang diwacanakannya sangat serius tentang kehamilan luar nikah remaja sekolah menengah.

“Anehnya, seserius-serius intinya audien masih boleh ketawa berdekah, menangis berambu dan "dakwah"nya pula tidak langsung dipaksa-paksa!,” tulisnya.

Dua Garis Biru akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 3 Oktober 2019.

Oh ya, jika anda mahu menyaksikan The Making Of Dua Garis Biru, tarikh dan masanya adalah seperti berikut dan boleh ditonton di Astro Citra (saluran 131) dan Citra HD (saluran 126).

The Making Of Dua Garis Biru:
2 Oktober: 10.30 pagi & 6.30 petang, 3 Oktober: 7.30 pagi & 6 Oktober: 10.30 pagi.