Sekilas
- Presiden SENIMAN, Zed Zaidi, menyeru penggiat seni supaya menolak rasuah dan mengutamakan integriti dalam semua urusan industri kreatif.
- SENIMAN bekerjasama dengan SPRM dan FINAS menganjurkan Program Hari Antirasuah Antarabangsa 2026 pada 29 November untuk mendekatkan mesej antirasuah secara santai dan mesra.
- Program sehari ini menawarkan taklimat SPRM, bengkel TikTok, pertandingan video pendek, pameran serta persembahan artis di Kompleks Studio Merdeka FINAS, Ulu Kelang.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi menyeru penggiat seni supaya lebih berani menolak rasuah serta tidak berkompromi dengan sebarang amalan yang menjejaskan integriti dalam industri kreatif tanah air.
Menurut Zed, setiap penggiat seni perlu menjadikan integriti sebagai prinsip utama dalam kerjaya, termasuk ketika mengendalikan urusan kontrak, pembayaran dan pengurusan produksi.
Malah, pengaruh yang dimiliki golongan selebriti juga boleh dimanfaatkan untuk menyebarkan nilai positif kepada masyarakat.
“Ahli SENIMAN mempunyai peranan penting, bukan sahaja sebagai penggiat seni tetapi juga individu yang mempunyai pengaruh kepada masyarakat.
“Setiap ahli perlu mengamalkan integriti dalam urusan kontrak, pembayaran, pengurusan produksi dan hubungan profesional.
“Kita perlu berani menolak rasuah dan tidak berkompromi dengan sebarang amalan yang salah. Seni bukan sekadar hiburan, tetapi medium untuk menyampaikan nilai dan membentuk masyarakat,” katanya.
Atas kesedaran itu, SENIMAN berganding bahu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi menganjurkan Program Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2026: Industri Kreatif pada 29 November ini.
Menurut Zed, program berkenaan merupakan inisiatif untuk mendekatkan mesej antirasuah kepada warga industri kreatif menerusi pendekatan lebih santai dan mesra.
“Kita mahu penggiat seni memahami bahawa isu integriti ini dekat dengan kehidupan dan kerjaya mereka.
“Sebab itu, pendekatan lebih santai dan mesra dipilih supaya mesej antirasuah dapat disampaikan dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zed turut berharap penggiat seni mengambil peluang menyertai program tersebut bagi meningkatkan pengetahuan mengenai hak dan tanggungjawab masing-masing.
Jelasnya, pendedahan sedemikian penting supaya anak seni lebih bersedia melindungi diri daripada eksploitasi, penyalahgunaan kuasa dan amalan tidak berintegriti.
“Kita mahu membina industri seni yang lebih profesional, telus dan dipercayai.
“Paling penting, generasi penggiat seni akan datang dapat bekerja dalam persekitaran yang lebih baik,” katanya.
Mengangkat tema ‘Filem Telus, Sinema Berjaya’, program sehari itu turut menawarkan pelbagai aktiviti termasuk taklimat khas SPRM, bengkel TikTok percuma serta pertandingan video pendek pengumuman khidmat awam (PSA) yang menawarkan hadiah menarik.
Turut memeriahkan program ialah pameran daripada persatuan dan rakan industri selain persembahan artis.
Program yang menyasarkan penyertaan pemain industri kreatif, warga FINAS dan pelajar itu bakal berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang di Kompleks Studio Merdeka FINAS, Ulu Kelang, Selangor.