Read

Dulu H! Live, Sekarang ‘Trendsetter’ Fesyen — Ini Tips SHALMA AINAA Mulakan Bisnes, Anda Kena Baca!

gempak
Public Anonymous User
28/09/2017
09:23 MYT
Sponsor Banner
Dulu H! Live, Sekarang ‘Trendsetter’ Fesyen — Ini Tips SHALMA AINAA Mulakan Bisnes, Anda Kena Baca!
Oleh: Huda Hussain

GARAPAN idea dan kecintaan Shalma Ainaa dalam bidang fesyen.
Perkembangan terkini Shalma Ainaa, sibuk dengan apa hari ini?
Baru-baru ini kami keluarkan koleksi pakaian lelaki untuk Hari Raya Aidiladha. Dalam masa sama, kami juga akan mengeluarkan rekaan terbaru untuk koleksi beg.
Dan kami merancang untuk tampilkan koleksi lengkap rangkaian terbaru kerana lazimnya kami akan keluarkan secara berasingan baju dan seluar. Ini bersempena dengan pembukaan butik shals.kl, insya-Allah jika tiada kesulitan kami akan langsungkan menjelang Oktober nanti.
Ceritakan kepada kami segalanya mengenai shals.kl?
Shals.kl sudah mula beroperasi sekitar empat ke lima tahun lalu. Tetapi ketika itu konsep kami adalah beli dan jual sebelum ledakan internet dan kemunculan media sosial seperti sekarang.
Malah ketika itu kami sudah pun membuka butik di Sunway Giza, Kota Damansara. Kemudian saya terbang ke London untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Pemasaran Fesyen.
Dan kakak saya menguruskan semua yang berkaitan dengan shals.kl. Hanya selepas saya tamat belajar dan pulang ke Kuala Lumpur, ayah meminta saya memberikan fokus kepada perniagaan ini.
Dan kira-kira dua tahun lepas, barulah saya mengambil alih sepenuhnya shals.kl dan melakukan pengubahsuaian, memberi nafas baru, itu dan ini. Kami mengolahnya dengan konsep minimal berbekalkan asas jenama sedia ada.

Kredit foto: www.shals.com.my

Mengapa memilih perniagaan fesyen pakaian dan tidak fokus kepada pengacaraan sepenuh masa?
Dahulunya saya menuntut dalam jurusan Pemasaran Fesyen manakala kakak saya pula mempunyai pengetahuan dalam bidang Kewangan dan Teknologi Maklumat. Dia lebih cenderung kepada bidang perniagaan dan memandangkan ketika dahulu saya masih kecil, maka dia yang terlebih dahulu menceburi bidang ini.
Emak saya pula mempunyai kemahiran dalam bidang menjahit pakaian dan pernah membuka butiknya sendiri. Maka secara tidak langsung kami sekeluarga sudah diberi pendedahan mengenai soal perniagaan sejak kecil lagi.
Dijadikan cerita, kakak saya tidak berminat untuk berkhidmat dalam sektor makan gaji sebaliknya lebih selesa membuka perniagaan sendiri. Dan emak pula memberi sokongan penuh kepadanya. Rentetan itu lahirlah shals.kl. Nama Shal’s diambil kerana kami adik-beradik mempunyai nama pertama yang sama iaitu Shalma.
Ketika saya masih belajar di London dahulu, Pak Nil yang asuh bakat saya untuk mencuba bidang pengacaraan ketika ekspo karier di sana. Dengan bersahaja, Pak Nil menyuruh saya bercakap (seperti melakukan uji bakat santai) mengenai senario London dan dari situlah bakat saya dicungkil. Dan apabila pulang ke Kuala Lumpur, saya menjalani sesi latihan dan kursus di bawah seliaan Pak Nil (On Air) selama enam bulan.
Sepanjang tempoh itu, saya banyak mempelajari asas bidang pengacaraan, bagaimana mahu kawal audiens dan banyak lagi. Kebetulan, tepat pada masanya saya dipilih sebagai salah seorang pengacara ketika kemunculan pertama rancangan H! Live.
Dalam masa sama, saya mula meminati bidang pengacaraan tetapi kemudian saya menyedari, hati saya masih lagi berpihak pada bidang perniagaan. Pada mulanya saya fikirkan mampu menangani kedua-dua profesyen dalam masa sama – mengacara dan menjalankan perniagaan.
Tetapi rupa-rupanya tidak kerana ketika H! Live mula diterbitkan, banyak perkara yang perlu saya lakukan sehinggakan apabila ada masanya, saya terkejar-kejar untuk menguruskan kedua-duanya.
Lantas saya memilih untuk berhenti mengacara kerana terfikir jika saya teruskan juga bidang pengacaraan, saya pasti akan ketinggalan untuk melakukan kerja yang saya minati iaitu menguruskan perniagaan. Justeru saya memilih untuk berhenti dan mula memberi nafas baru kepada shals.kl secara keseluruhannya.
Saya bersyukur kerana biarpun tidak bersama team H! Live tetapi pihak produksi masih mempercayai bakat saya dalam bidang pengacaraan. Justeru saya menerima tawaran mereka untuk mengacarakan rancangan ‘Motif Viral’ yang bersiaran sekali seminggu di Astro Ria.

Apakah populariti sebagai hos sebelum ini membantu melonjakkan jualan?
Pada saya ia bergerak seiring. Malah ketika mengacarakan H! Live dahulu, (walaupun saya akui masih banyak yang perlu saya pelajari dan perbaiki dalam soal pengacaraan) sedikit-sebanyak tempias public figure tetap membantu biarpun tidak semua mengenali saya.
Saya tidak menafikan sukar untuk meletakkan diri agar dikenali sementelahan H! Live masih baru ketika itu dan orang ramai masih memerlukan masa untuk menerima kedatangan kami sebagai pendatang baru dalam bidang pengacaraan. Namun saya melihatnya secara positif.
Apabila ada yang melihat kemunculan saya di televisyen dan dalam masa sama melihat juga apa yang saya pakai – ia membantu untuk saya meraih pengikut di laman sosial dan dalam masa mereka turut sama mengikuti Instagram shals.kl. Pada saya ia amat membantu biarpun bidang pengacaraan dan perniagaan adalah dua dunia yang berbeza.
Namun jika kita bijak mengaplikasikan peluang yang ada secara tidak langsung ia membantu untuk menyebarkan dan mengembangkan jenama perniagaan itu sendiri.
Daripada segi melonjakkan jualan, tidaklah terlalu banyak tetapi amat membantu untuk memberi pengenalan kepada orang ramai mengenai keberadaan jenama shals.kl dalam pasaran dan industri fesyen.

Kredit foto: www.shals.com.my

Bagaimana pula dengan cabaran, apa yang perlu Shalma lalui untuk mengenengahkan jenama shals.kl?
Entah mengapa, apabila saya melihat rakan atau sesiapa yang mempunyai perniagaan semuanya nampak mudah sahaja. Terdetik di hati saya, “Macam senang aje buat bisnes ni. Duit masuk aje. Jualan habis.”
Tetapi selepas saya mengambil alih untuk menguruskan shals.kl sepenuhnya, barulah saya sedar dan tahu ia tidak mudah seperti yang kita lihat dan sangkakan.
Pada saya untuk menguruskan sesuatu perniagaan, you must be very hands-on dan tidak boleh terlalu bergantung kepada orang lain. Anda terlebih dahulu perlu mengetahui dan mempelajari selok-belok perniagaan sebelum menyerahkan sesuatu peranan kepada staf lain.
Memandangkan sebelum ini saya tidak mempunyai pengalaman sebenar dunia pekerjaan dalam perniagaan, apabila saya berhadapan dengan isu melibatkan staf, pada saya, ia cukup mencabar. Bukan mudah untuk kendalikan kakitangan yang bermacam-macam ragam.
Sehinggakan saya berasa lebih senang menguruskan stok yang baru tiba berbanding menguruskan soal tenaga kerja. Jika terlalu berlembut, bimbang nanti staf ‘pijak kepala’ pula. Dan jika terlalu berkeras, pasti suasana bekerja tidak lagi bersifat kekeluargaan.
Pengalaman bertemu dengan ramai orang ketika mengacarakan H! Live dahulu sedikit-sebanyak membantu saya untuk mengenali peribadi seseorang, bagaimana untuk berhadapan dengan mereka, menguruskan tekanan dan lain-lain.
Justeru mengimbangi peranan sebagai usahawan dan dalam masa berinteraksi dengan staf memerlukan profesionalisme yang tinggi untuk mendepaninya.
Syukur kerana saya dikelilingi rakan-rakan yang banyak membantu kerana mereka juga mempunyai pengetahuan, pengalaman dalam bidang perniagaan dan fesyen. Justeru mereka sering berkongsi buah fikiran, memberi nasihat dan panduan.
Pada saya, untuk memulakan perniagaan; sama ada anda sendiri perlu mempunyai pengalaman atau memilih mereka yang benar-benar berpengalaman luas dalam bidang ini – ia amat penting untuk membantu anda mengembangkan jenama itu sendiri.

Soal rekaan, pemilihan material dan lain-lain; adakah Shalma sendiri yang melakukannya atau mempunyai ‘team’ untuk memutuskannya?
Dahulu hanya saya dan rakan sahaja (yang tidak bekerja bersama saya sebenarnya) tetapi kini saya mempunyai sekumpulan rakan-rakan yang turut bekerja dengan saya.
Malah setiap perincian mengenai rekaan, pemilihan warna misalnya kami akan bincang bersama dan kaedah yang sama juga dipraktikkan apabila kami perlu membuat sebarang keputusan – semuanya dipersetujui secara bersama.

Lumrah kini selebriti tampil dengan label fesyen mereka, adakah Shalma melihatnya sebagai suatu persaingan yang sihat atau bagaimana?
Pada saya semua orang boleh menceburi dan memiliki perniagaan sendiri. Tidak semestinya terhad kepada golongan selebriti atau individu berpengaruh sahaja.
Malah secara peribadi, saya sentiasa menyarankan dan memberi galakan penuh kepada rakan-rakan yang masih belum bekerja untuk membuka perniagaan. Saya melihat soal ini dalam perspektif yang cukup positif dan terbukti ia mewujudkan persaingan yang sihat.
Apa yang penting usah cemburu dengan kejayaan rakan- rakan artis lain kerana saya percaya dan berpegang kepada konsep rezeki. Semua orang mempunyai formula tertentu, strategi, pendekatan dan rezeki yang berbeza-beza.
Sudah pastinya saya sendiri ingin melihat jenama shal’s. kl berkembang pada masa akan datang. Saya melihat dan memikirkan percaturan shals.kl untuk jangka masa panjang misalnya dapat menembusi dan berkembang sehingga menjadi pasaran runcit skala besar, jenama ZARA umpamanya.
Saya tidak bersaing dengan pereka-pereka fesyen sedia ada kerana secara peribadi saya bukanlah pereka fesyen tetapi saya lebih menjurus kepada perniagaan. Dan soal rekaan itu hadir seiring dengan perjalanan perniagaan kerana dahulu saya mempelajari bidang fesyen.

Bila masanya Shalma berasakan sudah putus asa dalam bidang perniagaan?
Banyak kali! Sehinggakan saya berasakan, “Ah, sudah- sudahlah. Penat rasanya mahu uruskan semua perkara.” Apabila berhadapan dengan pelbagai masalah misalnya isu dalaman apatah lagi kini semuanya melibatkan kos dan mahal belaka, ia merumitkan lagi keadaan.
Konsep shal’s.kl adalah minimal dan apabila memikirkan kos pengeluaran semuanya mahal. Kebanyakannya melibatkan soal harga dan untuk kami meletakkan harga yang terlalu mahal pada sehelai baju bukan sahaja tidak mendatangkan keuntungan, tidak berbaloi malah pelanggan akan mula membuat perbandingan.
Mungkin apa yang terlintas dalam fikiran mereka, “Kalau mahal macam ni lebih baik beli ZARA,” umpamanya. Justeru, saya perlu pintas mencari solusi, merangka momentum dan sebagainya untuk mengembangkan jenama ini ke peringkat seterusnya.
Mungkin lumrah apabila sesuatu jenama itu sudah berada pada kedudukannya tersendiri barulah orang mula membuka mata. Itulah antara cabaran buat jenama tempatan seperti shals.kl namun saya tetap positif mendepaninya.

Kongsikan serba sedikit mengenai operasi shals.kl, berapa banyak helaian yang dikeluarkan untuk sesuatu koleksi?
Daripada segi pengeluaran, kami masih mengeluarkan helaian dalam skala tertentu dan tidak terlalu mass. Misalnya untuk setiap koleksi, lebih daripada 100 helai kami keluarkan kerana ia mengambil kira soal permintaan daripada pelanggan juga rekaan yang kami tampilkan adalah untuk pakaian harian dan tidak terhad untuk sesuatu musim sahaja. Menariknya setiap helaian boleh dipadankan dengan pelbagai stail mengikut kesesuaian dan keselesaan masing-masing.

Generasi muda hari ini lebih berani menceburi bidang perniagaan apatah lagi dengan adanya kecanggihan teknologi, media sosial dan sebagainya. Bagaimana Shalma melihat senario ini – adakah ia membantu atau menimbulkan isu lain misalnya plagiat, komen?
Sebutlah apa saja mengenai perkembangan media sosial dan teknologi hari ini, semuanya dipelopori generasi muda. Dari situ kita lihat, banyak bakat yang tumbuh bagaikan cendawan dan akhirnya diangkat sebagai ikon media sosial, YouTuber, Instagram reviewer dan banyak lagi.
Namun apakah yang terjadi kepada mereka sekiranya suatu hari nanti Instagram dilupuskan? Ke mana hala tuju mereka dan apakah yang akan mereka lakukan? Soal itu mungkin melibatkan kreativiti dan kepintaran mereka untuk mencorak masa depan mereka.
Biarpun kita yang lebih berpengalaman dan upper hand dalam soal lain, tetapi dalam masa sama soal generasi muda hari ini juga perlu diberi perhatian setaranya.
Paling penting janganlah mengambil jalan pintas untuk berjaya apatah lagi dalam dunia perniagaan. Hal ini kerana saya percaya untuk berjaya, anda perlu melalui turun naik setiap liku yang ada.
Benar teknologi membantu tetapi ia tetap berbalik kepada kita yang menggerakkannya. Adakah kita ingin memanipulasikannya dengan cara yang baik atau sebaliknya? Itu terpulang kepada kita. Media sosial dan perkembangan dunia internet membolehkan anda mengakses dari mana-mana.
Ia akan memberikan pendedahan yang baik untuk membina platform anda sendiri. Tetapi menjangkaui aspek itu, anda perlu bersikap dan berpendirian untuk lebih bertanggungjawab dan jika ia difahami, tidak akan timbul isu plagiat dan pelbagai lagi isu lain.
Kekuatan shals.kl bersandarkan kepada apa?
Kualiti dan material kami menjangkaui aspek masa. Misalnya setiap rekaan yang diketengahkan bukan hanya boleh digayakan sekali setahun tetapi pada bila-bila masa.
Saya ingin menerapkan elemen seni bina, sentuhan artistik dalam setiap rangkaian shals.kl sebagai DNA jenama kami yang membezakannya dengan jenama fesyen lain. Dan untuk memastikan kami tampil dengan idea segar, banyak proses yang perlu dilalui bersama, diteliti dan dikemaskan.
A post shared by SHALMA AINAA (@shalmaainaa) on
Sukar atau tidak meramalkan pasaran?
Sukar kerana pasaran dan permintaan sentiasa berubah- ubah. Tetapi itu bukan alasan selamat untuk saya duduk tanpa melakukan sesuatu. Justeru, saya perlu bijak mengenal pasti apakah yang menjadi kesukaan pelanggan dan sebaliknya, seterusnya merangka langkah berikutnya.
Sambutan yang diterima selepas shals. kl diberi nafas baru?
Hala tuju dan sasaran shals. kl kini lebih jelas malah ada pelanggan dari Singapura yang datang ke butik untuk melihat sendiri setiap koleksi kami. Saya sentiasa menitipkan setiap rekaan yang diketengahkan harus seiring dengan pembawaan diri saya kerana dalam masa sama ia adalah refleksi personaliti dan diri saya. Umpamanya saya sendiri sebagai moving branding.

Perancangan shals.kl selepas ini?
Untuk tahun ini, kami akan menyertai Women’s Fest iaitu sebuah karnival yang menampilkan independent brand kerana ia platform terbaik untuk terus mengembangkan jenama shals.kl.
Bukan bermaksud penyebaran melalui media sosial tidak mencukupi tetapi pendedahan jenama ini harus dilakukan dengan lebih tersusun. Apa jua medium yang ada, akan kami manfaatkan sepenuhnya untuk terus mengembangkan jenama ini.
Dalam masa sama, insya-Allah kami merancang dan menyasarkan untuk menyertai Minggu Fesyen Kuala Lumpur tahun hadapan dan membuka beberapa cawangan di Bangsar. Apa yang penting adalah jualan kami terus meningkat.

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024