HIBURAN
Eda Ezrin Sabar Menunggu Detik Kembali Ke Pangkuan Keluarga, Anak-Anak Datang Melawat Pada Raya Keempat
"Walaupun tempoh penjara dilanjutkan, saya setia menunggu detik untuk kembali ke pangkuan keluarga dan anak-anak."
Demikian luahan penyanyi dikir barat, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail atau dikenali sebagai Eda Ezrin kepada ibunya, Zahara Mamat, 47, ketika pertemuan di Penjara Wilayah Narathiwat, petang kelmarin.
Bapa Eda Ezrin, Wan Ismail Wan Yusuf, 52, ketika memaklumkan perkara itu berkata, anak sulungnya itu juga reda dengan lanjutan penahanan walaupun sudah tidak sabar untuk keluar dan pulang ke Kelantan.
"Kelmarin, ibu Eda Ezrin pergi melawatnya di penjara dan Eda memaklumkan berhubung lanjutan penahanan sekurang-kurangnya sebulan lagi.
"Eda sendiri pun tidak tahu bila dia akan keluar dari penjara, sama ada bulan depan atau beberapa bulan lagi.
"Namun Eda hanya meminta kami mendoakan supaya dia dibenarkan keluar penjara secepat mungkin kerana sudah tidak sabar untuk bertemu dengan anak-anaknya," katanya ketika dihubungi.
Kelmarin media melaporkan, penyanyi dikir barat Kelantan, Eda Ezrin perlu berada di Penjara Wilayah Narathiwat sekurang-kurangnya sebulan lagi.
Ia berikutan Mahkamah Wilayah Narathiwat memberi kebenaran kepada pihak Pendakwa Raya untuk melanjutkan tempoh mengemukakan permohonan rayuan berhubung pembebasan penyanyi dikir barat itu bersama suami serta empat rakannya.
Jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat mengesahkan pendakwa raya sudah membuat permohonan pada Rabu lalu supaya tempoh mengemukakan permohonan rayuan dilanjutkan sebulan lagi bagi membolehkan mereka mencari bukti mengaitkan penyanyi itu berserta lima yang lain atas dakwaan memiliki 6,059 biji pil yaba.
Pada 6 Mac lalu, penyanyi Bea Soba Bea dan lima yang lain dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda yang ditemukan di dalam sebuah bilik hotel di Golok pada 1 November tahun lalu.
Mengulas lanjut Wan Ismail berkata, dua anak Eda Ezrin turut melawat ibunya di penjara Narathiwat pada Syawal keempat.
"Keadaannya baik-baik saja walaupun menyambut Aidilfitri dalam penjara. Anak-anaknya juga gembira dapat melihat ibu mereka walaupun hanya beberapa minit," katanya.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video