Dua nama yang cukup gah sebagai pengacara tempatan, Nabil Ahmad dan Neelofa kembali bergabung.

Kali ini, kolaborasi mereka bukan dalam bidang pengacaraan hiburan, namun Nabil dan Neelofa yang cukup sinonim sebagai pengacara MeleTOP membawa penonton masuk ke dimensi lain dalam kebolehan mengendalikan program bual bicara.

Lebih menarik, buat pertama kalinya mereka bergabung dalam program bual bicara Islamik yang diberi nama N To N.

Neelofa dan Nabil Ahmad akan bersama seorang pendakwah undangan dalam setiap episod.

Mereka akan membincangkan topik-topik yang berkait dengan Al Quran dan Hadith selain berkongsi pengalaman peribadi mereka.

Program yang bersiaran sepanjang bulan Ramadan ini juga memberi peluang kepada penonton untuk sama-sama menimba ilmu untuk lebih mendekatkan diri kepada Islam.

Bukan calang calang, antara tetamu yang datang berkongsikan kisah dan ilmu agama untuk dikongsikan semua termasuklah Dato’ Ustaz Kazim Elias, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, Ustaz Zul Ramli, Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa, Ustaz Ahmad Dusuki, Ustaz Wadi Annuar dan Ustazah Muzayyanah.



Secara eksklusif dalam salah satu episod, Nabil dan Neelofa juga akan muncul bersama Ustaz Haris Ismail (PU Riz), yang kini menjadi suami pengacara itu dalam salah satu episod N To N.

Malah sewaktu Gempak berkesempatan hadir menyaksikan salah satu rakaman epidod N To N, Nabil kelihatan cukup teruja kerana buat pertama kali mengendalikan program seumpama ini sepanjang pembabitannya dalam bidang seni.

Selain mengupas topik yang diberikan, dia juga sesekali kelihatan berkongsi dan bertanyakan banyak soalan berkaitan agama yang ingin dipelajari.

Antara topik yang akan dikupas termasuklah Rasulullah Di Hati, Jiwa Yang Tenang, Nikmat Ujian, Dugaan Pendakwah Muda dan Pasangan Syurga.

Bersiaran bermula 17 April 2021, (hari ini) N To N boleh disaksikan setiap Sabtu dan Ahad, jam 9.00 malam secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO untuk pilihan yang lebih fleksibel. #NtoN #AstroRia.

Instagram: @nabilzira