HIBURAN
Eyka Farhana Bahagia Jadi Isteri Akhyar Rashid - “Kalau Saya Tahu, Dah Lama Saya…”
Pelakon, Eyka Farhana akui fasa bergelar isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid adalah satu detik paling manis dalam hidupnya.
Menerusi satu hantaran di laman Threads, Eyka atau nama lengkapnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi tidak menyangka alam perkahwinan memberi begitu banyak ketenangan dan kebahagiaan.
“Kalau saya tahu manisnya berkahwin, dah lama saya kahwin. Alhamdulillah, syukur Ya Allah. Saya doakan semoga yang belum bertemu jodoh akan dipertemukan dengan yang terbaik,” tulisnya.
Dalam pada itu, aktres berusia 30 tahun itu turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berdoa perkara yang baik, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga kepada orang lain.Eyka juga meluahkan rasa kurang senang dengan budaya segelintir individu yang sering mengeluarkan kata-kata negatif di media sosial.
“Doa yang baik walaupun untuk orang yang kita tidak kenal, tetap memberi kebaikan semula kepada diri sendiri. Daripada mendoakan perkara yang tidak elok, lebih baik kita perbaiki diri dan simpan kata-kata yang baik.
“Kebelakangan ini saya nampak terlalu banyak doa dan kata-kata yang tidak sepatutnya diucapkan. Perlu diingat, setiap perkataan itu juga adalah doa. Jadi, biasakan diri bercakap perkara baik mengenai diri sendiri mahupun orang lain,” tambahnya.
Eyka Farhana akhirnya sah bergelar isteri kepada pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid, dalam satu majlis akad nikah yang berlangsung pada 2 Mei 2025.
Eyka dan Akhyar sudah menjalin hubungan cinta sejak hampir lima tahun lepas dan bertunang pada 4 Ogos 2024.
Must-Watch Video