Bintang Big Stage 2020, Fadh Majid muncul dengan single keduanya berjudul Tak Mungkin Mendua setahun selepas single pertamanya, Bukan Takdirku dilancarkan.

Lagu Tak Mungkin Mendua mendapat sentuhan komposer popular Ajai dan liriknya pula ditulis Fedtri Yahya.

Kata anak jati kelahiran Melaka ini, Tak Mungkin Mendua adalah sebuah karya yang menceritakan tentang kesetiaan seorang lelaki terhadap pasangannya yang lebih tahu menghargai dirinya jika dibandingkan cinta pertama beliau.

"Percintaan seumpama ini cukup sinonim dan seringkali terjadi dalam dunia nyata. Meskipun ia sebuah kisah klise, namun mesej positif terus diterapkan dimana pentingnya kesetiaan dan menghargai insan yang bersama kita tatkala susah atau senang," katanya.

Turut mengasah bakat dalam bidang lakonan, Fadh akui Big Stage 2020 memberikannya lebih banyak ruang menyerlahkan bakat.
Peluang membintangi beberapa buat drama dan telemovie terbitan syarikat televisyen popular tempatan, merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan buatnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Todak Muzik, Encik Ikmal Fareeq berkata, Fadh Majid memiliki suara unik yang jarang-jarang ada di Malaysia. Itu adalah salah satu faktor utama kenapa Todak Music melamar beliau sebagai artis di bawah naungan Todak Music.

"Sebagai seorang yang sudah lama berkecimpung dalam industri muzik tanahair, saya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap lagu ini, semestinya kerana ia sebuah karya sentuhan Ajai dan Fedtri Yahya.
"Ditambah pula dengan gaya nyanyian Fadh Majid yang unik, bahkan berharap lagu ini dapat diterima semua dan mendapat sambutan hangat’," katanya.

Tambahan Encik Kamarul Arifin (Arul), Pengurus A&R Todak Muzik; "Lagu terbaru dari Fadh Majid kali ini sedikit berbeza dari biasa. Pemilihan genre kali ini diselitkan elemen fusion antarabangsa namun tetap mengekalkan melodi asal citarasa melayu agar tetap boleh diterima oleh pencinta muzik tempatan."

Tak Mungkin Mendua, kini boleh didengari di semua platform penstriman dan boleh dimuat turun menerusi Apple Muzik serta dijadikan nada dering di semua Telco. Lirik Video boleh ditonton menerusi saluran YouTube Todak Muzik.