Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengarahkan pembatalan serta merta baki dua hari konsert Good Vibes Festival 2023 yang berlangsung hari ini sehingga esok susulan tindakan melampau kumpulan The 1975.

Fahmi berkongsi kenyataan tersebut menerusi laman Twitter miliknya pada Sabtu.

“Justeru, saya telah mengarahkan PEMBATALAN SERTA MERTA baki festival tersebut yang sepatutnya berlangsung hari ini sehingga esok, 23 Julai,” tulisnya.

Menyedari keputusan yang dibuat itu akan memberi kesan kepada penontom yang sudah membeli tiket, Fahmi turut menggesa penganjur untuk mengenal pasti mekanisme ganti rugi.

“Saya faham keputusan ini akan memberi implikasi kepada penonton yang telah membeli tiket. Sehubungan itu, saya juga telah menggesa penganjur untuk mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli-pembeli tiket.

“Kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara. Walau bagaimanapun, jangan sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat, khususnya yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan,” jelasnya lagi.

Susulan sikap biadab tindakan kumpulan The 1975 yang membuat aksi kurang sopan dalam konsert Good Vibes Festival 2023, pihak penganjurnya kini sedang menanggung padahnya.

Penganjur Good Vibes Festival 2023 telah diminta memberi penjelasan terhadap insiden yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, malam tadi.

Sementara itu Free Malaysia Today melaporkan Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan juga mahu melakukan pertemuan dengan penganjur festival.

Media melaporkan persembahan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 dihentikan selepas vokalisnya, Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.

Beliau didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Meski berhadapan dengan kontroversi tersebut, penganjur menerusi siaran media yang dikeluarkan menjelaskan Good Vibes Festival 2023 akan diteruskan seperti biasa iaitu berakhir esok (Ahad).

ARTIKEL BERKAITAN: Sifatkan Aksi Cium Sesama Jenis Biadab, Fahmi Panggil Penganjur ‘Mengadap’