Hiburan
Fahrin Ahmad Bersederhana Kongsi Gambar Anak di Instagram
Pelakon dan pengacara, Fahrin Ahmad mengambil pendekatan bersederhana dalam berkongsi gambar anaknya, Khalifa Fahrel di laman Instagram.
Fahrin, 38, akan memuat naik gambar anaknya di laman sosial apabila dirasakan perlu.
"Bercakap perihal anak dan laman sosial, setiap orang ada pendapat tersendiri. Bagi saya, saya mengambil langkah sederhana dalam berkongsi perkembangan anak.
"Ada juga ibu bapa yang kerap berkongsi foto anak mereka, saya pula merasakan saya akan memuat naik gambar anak apabila perlu.
"Anak saya juga tidak mempunyai laman Instagram sendiri. Jika peminat mahu melihat perkembangan anak saya, mereka boleh melihatnya di laman Instagram saya dan isteri," kata Fahrin kepada Astro Gempak.
Mengakui media sosial menjadi satu perkara yang sedang pesat berkembang, Fahrin mahu anaknya sendiri membuka akaun laman sosial apabila dia dewasa kelak.
"Zaman sekarang memang zaman media sosial. Saya tak mahu membuat akaun Instagram anak saya kerana saya takut apabila dia besar kelak, dia sukar untuk menguruskannya.
"Biarlah apabila dia dewasa kelak, dia membuka akaun laman sosialnya sendiri jika dia rasa perlu," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran dan memperkenalkan duta produk kosmetik Lerve di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur pada Selasa.
Fahrin bersama aktres Fasha Sandha dilantik sebagai duta bagi rangkaian kosmetik jenama Lerve.
"Sebelum bersetuju, saya telah terlebih dahulu mencuba wangian Lerve. Saya merasakan wangian ini sesuai dengan saya dan berkualiti untuk digunakan oleh semua," katanya lagi.
Untuk lebih informasi mengenai produk tersebut, layari laman Instagram @lerve_cosmetics.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Must-Watch Video