Penyanyi popular, Faizal Tahir muncul dengan single terbaru, Malaysia, yang membawa inspirasi kepada rakyat rindukan tanah air sendiri.

Jelasnya, dia menghasilkan lagu tersebut untuk mengubah mentaliti pendengar terhadap lagu sedemikian yang hanya dimainkan pada hari kemerdekaan negara.

"Sejak tiga hingga empat tahun kebelakangan ini, saya banyak melancong dan merantau ke negara orang termasuk membuat kerja amal bersama I am Faithmen.

"Saya sedar apabila kita pergi ke negara orang, kita akan kagum dan tertarik dengan budaya, makanan, keindahan dan cuaca tapi satu benda tak boleh tipu, selepas seminggu kita akan rindukan Malaysia," katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya, nama Malaysia sentiasa berada di hatinya dan berharap lagu ini jadi lagu cinta pada semua pendengar untuk Malaysia.

"Lagu ini harus dipasang pada bila-bila masa. Ketika lagu ini dihasilkan, memang saya nak lagu macam itu dimainkan di radio yang tidak mengira waktu.

"Setiap lagu ada cabaran. Orang ingat buat lagu mengambil masa sebulan dah siap tapi lagu Malaysia ini setahun disimpan untuk saya pastikan ia mendapat layanan, 'treatment' dan rakaman yang terbaik," katanya.

Menariknya, rakaman kebanyakan instrumen dalam lagu ini dilakukan di luar negara untuk memastikan dia mendapat bunyi yang dimahukan.

Dalam pada itu, Faizal juga baru saja menyiapkan muzik video lagu Buta bersama Caliph Buskers.

"Cabaran paling utama sebab kena berlakon. Saya pernah berlakon tapi saya tidak suka berlakon sebab tak boleh tengok diri sendiri berlakon.

"Saya memang susah nak serius, asyik nak gelak. Apabila berlakon jadi orang lain, saya rasa kelakar dan tak kena," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak