Pelakon Farid Kamil bersyukur apabila isterinya iaitu aktres Diana Danielle membenarkan dia untuk menambah bilangan hari bertemu dengan dua orang anak mereka, Muhammad, 10 dan Nur Aurora, 8 tahun.

Malah, Farid turut meluahkan hasrat agar isterinya dapat turut sertai perjumpaan bersama dengan anak-anak mereka di masa akan datang.

“Alhamdulillah buat masa sekarang, perjumpaan saya dengan anak-anak begitu mudah sekali. Malah Diana juga tidak menghalang sekiranya saya ingin menambah hari bertemu anak-anak.

"Tapi perlulah mengikut prosedur dengan menghantar surat lebih awal lima hari kepada peguam isteri seperti ditetapkan mahkamah.

"Saya harap perjumpaan dengan anak pada masa akan datang turut disertai bersama ibu (Diana) mereka. Itu harapan saya," katanya turut memaklumkan kali terakhir bertemu dengan anak-anak pada 21 Mei lalu.

Farid ditemui media di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam ditemani peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan bagi sebutan semula kes hadanah (hak penjagaan) dua anak mereka.

Dalam pada itu, Farid juga berharap dia dapat membawa isteri dan anak-anak pulang beraya di kampung halamannya di Alor Setar, Kedah bagi menyambut Hari Raya Aidiladha pada 26 Jun depan.

“Harapan saya ingin membawa isteri dan anak-anak untuk pulang beraya ke kampung. Memang saya ada merancang untuk beraya di kampung seperti biasa jadi, saya akan berusaha membawa anak-anak balik raya haji kelak," ujarnya.

Sementara itu, difahamkan usaha pihak media mendapatkan komen daripada Diana gagal apabila pelakon filem Imaginur itu enggan mengulas sebaliknya terus beredar menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV).

Terdahulu, Hakim Syarie Zulfikri Yasoa menetapkan sebutan semula kes pada 8 Ogos depan bagi keputusan inter-parte pasangan berkenaan berhubung hadanah interim (hak penjagaan sementara) dua kanak-kanak tersebut.

Difahamkan, Farid dan Diana akan hadir di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Subang Bestari pada petang Selasa bagi prosiding keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Pada 20 Mac lalu, Farid enggan melafazkan talak terhadap Diana dengan alasan masih sayangkan isterinya itu selepas aktres berkenaan memfailkan penceraian secara baik terhadapnya.

Untuk info, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Sumber - mStar