Pelakon dan penyanyi Fattah Amin bakal muncul dengan single terbaru berjudul Kiriman Agung.

Menurut Fattah, lagu baru bergenre ketuhanan tersebut lebih kepada doa dan harapan seorang ayah untuk zuriat yang bakal dilahirkan.

Istimewanya, lagu hasil ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik bersama Fedtri Yahya itu dibuat khas untuk anak sulung yang bakal dilahirkan tidak lama lagi.

Malah, lagu terbitan syarikat rakaman Universal Music Malaysia itu juga adalah percubaan pertama Fattah menyanyikan lagu dalam genre nasyid atau ketuhanan.

“Lagu ini adalah hadiah buat anak yang bakal dilahirkan tidak lama lagi, Insya Allah. Lagu ini lebih kepada doa dan harapan seorang ayah untuk zuriat yang bakal dilahirkan.

“Bagi saya, lagu ini bukan saja untuk saya, tapi juga buat mereka yang bakal bergelar bapa.

“Malah, untuk lagu ini keseluruhan idea dan konsep datang daripada saya. Saya bagi ‘direction’ kepada Hafiz dan Fedtri untuk buat lagu ini.

“Saya ceritakan pada mereka macam mana yang saya mahukan untuk lagu ini. Jadi, secara asasnya lagu ini lahir dari hati saya untuk disampaikan pada pendengar,” katanya.

Fattah yang juga penyanyi lagu Wanita Terindah berkata, tercetusnya idea menghasilkan lagu selepas dia melancarkan lagu Bebas.

“Selepas lagu Bebas yang mengangkat tema semangat dan inspirasi, dari situ saya terfikir nak buat pula lagu ketuhanan iaitu genre yang belum pernah saya buat.

“Apabila saya sampaikan idea ini pada Universal Music Malaysia, saya fikir kenapa tidak buat lagu yang kena dengan keadaan saya sekarang.

“Apabila ia dipersetujui, saya pun terus sampaikan idea pada Hafiz yang juga penerbit lagu ini,” katanya.

Berkongsi mengenai genre lagu ini, Fattah yang juga pelakon filem Special Force menyifatkan ia peluang terbaik untuk dirinya memulakan genre itu pada masa akan datang.

“Sebenarnya saya sudah lama nak nyanyi lagu ketuhanan atau Islamik. Tapi, ini pertama kali dapat peluang daripada Universal Music Malaysia dan dapat pula berkolaborasi dengan Hafiz Hamidun dan Fedtri Yahya.

“Nak cakap susah atau tak, tentu saja susah. Apatah lagi ini percubaan pertama saya sebab tak pernah nyanyi lagu bergenre ini. Tapi, alhamdulillah dapat tunjuk ajar daripada penerbit.

“Jadi, kami bersama-sama berusaha sehabis baik dalam menghasilkan lagu ini. Alhamdulillah, saya puas hati dengan hasilnya yang cukup terbaik,” katanya.

Dalam masa sama, Fattah berkongsi dia masih dalam perancangan untuk menghasilkan video muzik lagu itu.

“Kiriman Agung” sudah boleh didapati di platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music pada 11 SEPTEMBER 2020 lalu.