Sekilas
- Penyanyi Sahri berkongsi pengalaman lebih 20 tahun dalam industri muzik yang penuh liku, termasuk pernah dipandang sepi dan bekerja di belakang tabir.
- Sahri kini fokus kembali kepada kerjaya nyanyian dengan persiapan single baharu yang dijangka dilancarkan sebelum Ramadan 2027.
- Beliau turut terlibat dalam kempen BANGKIT: Bakat Yang Tak Pernah Padam untuk mengangkat bakat seni yang masih berpotensi dalam industri muzik tempatan.
Selepas meraih kemenangan di sebuah anugerah berprestij, penyanyi Sahri mengakui perjalanan lebih dua dekad dalam industri muzik bukan sentiasa indah, malah pernah melalui detik dipandang sepi sehingga terpaksa mencari rezeki di belakang tabir.
Pemilik nama sebenar Sahri Mohd Sarip itu berkata, keputusannya meninggalkan pekerjaan pada April lalu dibuat bagi memberikan tumpuan semula terhadap kerjaya seni yang sudah sebati dengan dirinya sejak 2003.
“Orang mungkin ingat saya sudah berhenti menyanyi. Sebenarnya minat itu tidak pernah hilang. Cuma perjalanan hidup membawa saya ke arah berbeza. Sekarang saya mahu kembali kerana menyanyi tetap menjadi sebahagian daripada jiwa saya.
“Saya pernah berada di depan kamera sebagai penyanyi dan bekerja di belakang tabir untuk memastikan sesebuah program berjalan lancar. Pengalaman itu membuka mata saya bahawa industri hiburan sebenarnya jauh lebih besar daripada apa yang penonton lihat di televisyen,” katanya kepada Gempak.
Sahri berkata demikian ketika ditemui di sidang media kempen BANGKIT: Bakat Yang Tak Pernah Padam yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIH) pada Isnin.
Dalam masa sama, Sahri turut mengimbau kembali detik-detik sukar termasuk pernah menerima ejekan penonton ketika membuat persembahan serta kehilangan nenek tersayang ketika sedang menjayakan persembahan di Kedah.
“Saya pernah menyanyi tanpa bayaran, pernah juga menerima bayaran antara RM3,000 hingga RM5,000 untuk beberapa lagu. Malah, pernah diboo ketika membuat persembahan. Semua itu mengajar saya bahawa menjadi penyanyi bukan hanya tentang populariti, tetapi sejauh mana kita mampu bertahan,” katanya.
Mengulas mengenai perancangan terbaharu, Sahri berkata, dia kini sedang mempersiapkan single baharu yang disasarkan untuk dilancarkan sebelum Ramadan 2027 sebagai langkah memperkenalkan semula muziknya kepada pendengar, termasuk generasi muda.
“Saya tidak mahu kembali semata-mata untuk mengimbau nostalgia. Saya mahu orang mendengar Sahri hari ini, dengan pengalaman dan kematangan yang saya miliki. Saya percaya bakat tidak mempunyai tarikh luput selagi kita masih berusaha,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sahri bersama dua penyanyi terkenal iaitu Fatin Faishal dan Pija Yasin turut terlibat dalam sebuah kempen CSR Apresiasi Bakat Seni iaitu BANGKIT: Bakat Yang Tak Pernah Padam.
Penyertaan Sahri dalam kempen tersebut dilihat sebagai platform untuk mengangkat semula bakat penyanyi yang masih mempunyai kemampuan serta potensi untuk terus menyumbang kepada industri muzik tempatan.