Cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob memberitahu bahawa dia merancang untuk membuka sebuah pusat latihan kulinari.

Fazley, 42, berkata, dengan adanya pusat latihan tersebut, secara tidak langsung dia dapat memperkasakan dunia pendidikan kulinari secara formal.

"Restoran Suka Sucre di Cheras akan berpindah ke tempat baharu dan saya target lokasi itu nanti untuk dijadikan sebagai sebuah pusat latihan kulinari.

"Bahkan, selama ini pun saya juga ada menerima pelajar yang ingin menjalani latihan industri di restoran, tapi tak boleh ambil ramai sebab ruang terhad.

"Kalau nak buat kelas latihan, saya terpaksa tutup restoran sementara," katanya kepada Gempak.

Katanya lagi, sebelum ini, dia pernah menerima permohonan sehingga 40 pelajar setahun yang menjalani praktikal di restoran miliknya.

Fazley berkata demikian ketika ditemui sewaktu Majlis Previu Media Sajian Merentasi Zaman: Cef Datuk Fazley Yaakob X Four Seasons Kuala Lumpur.



Bercakap mengenai kerjasamanya dengan hotel terkemuka itu, katanya, pada tahun ini, dia menampilkan lebih 80 menu istimewa daripada pada bulan Ramadan nanti.

"Kalau tahun lepas temanya lebih kepada menu Nusantara, tetapi kali ini, saya gabungkan juadah daripada semua negeri yang ada.

"Jadi, antara menu istimewa yang akan saya bawakan ialah nasi nyiru nostalgia dan puyuh salai kulit rambai," katanya yang memberitahu sajian tersebut boleh didapati bermula 24 April depan.

Alhamdulilah, pelancaran menu baharu di @fskualalumpur petang ini berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada semua rakan media yang hadir. Siapa nak rasa Nasi Nyiru saya ni? Akan disajikan sepanjang bulan Ramadan nanti InsyaAllah di CURATE Four Seasons Kuala Lumpur #dfyforfourseasons

A post shared by Dato' Fazley Yaakob (@fazleyyaakob) on


Sebelum ini, Fazley yang juga seorang penyanyi dan pelakon merupakan juara program MasterChef Selebriti Malaysia pada 2012.