Terkini
Festival Tari Antarabangsa 2019 ASWARA Angkat Tema 'Renewal Dance in the 21st Century', Turut Disertai 11 Universiti Sekitar Asia!
Bersempena dengan sambutan 25 tahun Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan kempen Visit Malaysia Year 2020 dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Festival Tari Antarabangsa 2019 ASWARA (Tari 19 ASWARA) kembali dalam edisi yang ke-10.
Menampilkan tema 'Renewal Dance in the 21st Century', Tari 19 ASWARA yang bakal berlangsung di ASWARA pada 15 hingga 19 Oktober depan mengangkat situasi masa kini yang sejajar dengan objektif penganjuran festival terbabit.
"Tema Tari 19 ASWARA dipilih untuk mempamerkan situasi masa kini. Seluruh dunia berhadapan dengan pelbagai cabaran, tapi dalam masa yang sama, ramai berjaya meraih cita-cita dan menggapai kejayaan, perkembangan dan kemajuan serta berhadapan dengan konflik.
"Untuk penganjuran edisi yang ke-10 ini, Tari 19 ASWARA turut melibatkan pembabitan 11 buah universiti dari seluruh Asia bagi menterjemahkan tarian bertemakan Renewal Dance in the 21st Century.
"Universiti-universiti yang akan terlibat dalam Tari 19 ASWARA ialah Guangxi Arts University dari China, Universitas Surabaya (Indonesia), Sapphire Creation Dance Company (India), Natanda Dance Theatre (Sri Lanka), Nanyang Academy of Fine Arts (Singapura), University of the Philippines (Filipina) dan Taipei National University of the Arts (Taiwan).
"Selain itu, Chulalongkorn University (Thailand), Cambodian Living Arts (Kemboja), The Hong Kong Academy for Performing Arts (Hong Kong) dan Korea National University of the Arts (Korea Selatan) juga bakal terlibat sama dalam festival ini," kata Dekan Fakulti Tari ASWARA, Norsafini Jaafar.
Norsafini ditemui usai sidang media Tari 19 ASWARA di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Rektor ASWARA, Profesor Madya Sahar Sa’di Hashim.
Tambahnya lagi, ASWARA mempunyai sebab istimewa untuk memilih 11 institusi pengajian tinggi ini menyertai Tari 19 ASWARA.
"11 universiti ini yang merupakan antara institusi pengajian tinggi terbaik dalam subjek pengkhususan tarian. Semestinya kami memilih yang terbaik untuk dipersembahkan dalam Tari 19 ASWARA.
"Sejujurnya, ASWARA tidak sabar untuk menantikan penganjuran Tari 19 ASWARA kerana kali terakhir ia diadakan adalah pada 2014 dengan tema 'building bridges'. Ketika itu, ada 11 bnuah negara juga turut melibatkan diri.
“Bagi pasukan Fakulti Tari ASWARA sendiri, pelbagai rencana sudah diadakan untuk Tari 19 ASWARA. Semestinya kami akan mempersembahkan sesuatu yang terbaik untuk melambangkan masyarakat majmuk serta keharmonian rakyat Malaysia,” kata Norsafini lagi.
Selain persembahan tarian serta pertukaran idea, program-program menarik lain turut diadakan sepanjang berlangsungnya Tari 19 ASWARA seperti seminar, perbincangan meja bulat, masterclass dan ia turut melibatkan pelajar dan alumni ASWARA serta ramai lagi seperti agensi tarian kerajaan, institut pengajian tinggi lain, syarikat profesional, artis bebas, ahli akademik, koreografer serta pengarah tari.
Tari 19 ASWARA akan diakhiri dengan Malam Gala Tari 19 ASWARA yang bakal diadakan pada 19 Oktober ini bertempat di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.
Must-Watch Video