Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang mencatat rekod kutipan sebanyak RM4 juta dalam tempoh 18 hari sepanjang ia ditayangkan Di Pawagam Rumah Anda, Astro First.

Sambutan yang menggalakkan ini telah membuktikan jalan cerita yang menarik oleh sutradara tersohor Mamat Khalid dan bakat seni yang dipersembahkan oleh setiap barisan pelakon mampu menarik minat penonton untuk menghargai karya tempatan.

Menurut Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, filem ini diharap dapat dijadikan rujukan dalam mengetengahkan bakat-bakat terhebat industri seni negara.

“Alhamdullilah, 18 Puasa Di Kampong Pisang masih mendapat tempat di hati penonton meskipun filem tersebut telah ditayangkan melebihi dua minggu.

“Menariknya, filem arahan pengarah hebat Mamat Khalid ini berjaya menonjolkan bakat-bakat anak seni tanah air untuk dihargai.

“Di media sosial juga menyaksikan penonton turut memuji dengan bakat yang dipertaruhkan di dalam filem tersebut. Saya harap kejayaan 18 Puasa Di Kampong Pisang mampu menjadi rujukan dalam industri seni agar terus mengutamakan serta mengetengahkan lagi bakat-bakat hebat tanah air,” ujarnya menerusi satu kenyataan.

Filem ini masih mengekalkan pelakon Kampong Pisang Bersiri-siri antaranya Barkoba (Bell Ngasri), Pak Din (Kazar Saisi), Pak Karim (Mat London), Pak Jabit (Aziz M Osman), Cik Purnama (Dewa Sapri), Daud M (Joey Daud) Faguha Jabar (Rashid Othman), Ahmad Yasin (Ahmad Yasin) dan Yah Kuchei (Afea Deana).

Selain itu, filem ini turut dimeriahkan dengan penampilan karakter istimewa seperti Tyson 1 (Namron), Tyson 2 (Jaafar Onn), Kiambang (Siti Elizad Mohamad Sharifuddin), Ustaz Kazim (Datuk Ustaz Kazim), Ayahanda Rani Kulop (Rani Kulop), Manap Sengau (Yeop Hitler), Penjaga Neraka (Man Raja Lawak) dan ramai lagi.

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan.

Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, dia telah didatangi si iblis yang membawanya kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.

Tonton filem komedi sarat mesej ini Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 mulai 15 April 2021.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.