Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh Datuk Mohd Isam Mohd Isa melahirkan rasa teruja dengan penghasilan filem Gemencheh Boys.

Isam yang memberi ucapan ketika Perbahasan Belanjawan 204 di Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat turut mengajak semua ahli Yang Berhormat menonton filem yang dinspirasi dari kisah benar itu di pawagam bermula 26 Oktober.

“Saya menyambut baik hasrat Kerajaan untuk terus menyokong bakat-bakat kreatif tempatan supaya para penggiat seni tanah air dapat menghasilkan lebih banyak karya seni yang mereka mahukan.

“Pada kesempatan ini, saya selaku anak jati Gemencheh dan mantan ADUN Gemencheh ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Astro Shaw, Penerbit, Pengarah Filem, Produksi dan barisan pelakon kerana telah menghasilkan filem Gemencheh Boys.

“Filem yang dinspirasikan daripada kisah benar iaitu sekumpulan budak kampung yang berasal dari tanah rancangan FELDA Bukit Rokan Utara yang telah berjaya menempa sejarah dalam dunia sukan kriket, mampu memberikan inspirasi kepada semua penonton.

“Sehubungan itu, dengan sukacitanya saya ingin mengajak semua ahli Yang Berhormat untuk terus menyokong filem tempatan dan meluangkan masa untuk pergi menonton filem berkenaan yang bakal ditayangkan di pawagam bermula pada 26 Oktober iaitu pada hari Khamis ini,” katanya.

Sebuah adaptasi daripada peristiwa sebenar, Gemencheh Boys menampilkan kisah inspirasi sekumpulan budak kampung yang berjaya menempa sejarah dalam dunia sukan antarabangsa.

Filem ini diceritakan dari kaca mata atlet kriket kebangsaan, Shafiq Sharif yang mewakili Malaysia untuk Piala Dunia Kriket pada tahun 2019 serta berjaya merangkul pingat emas di Sukan SEA 2017.

Gemencheh Boys dengan tagline ‘no retreat, no surrender’ memaparkan kisah kanak-kanak dari kampung yang digelar sebagai ‘Enam Jahanam’. Terkenal dengan sifat nakal, bagaimanapun karakter mereka berubah apabila seorang guru memperkenalkan permainan kriket. Menampilkan tema persahabatan, pengorbanan dan harapan, perjalanan pelajar-pelajar ini bersama gurunya menuju ke gelanggang dunia diceritakan dalam pelbagai emosi.

Selain Jason, yang juga pemenang Cerita Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia 2017, Gemencheh Boys turut mendapat sentuhan Eric Ong.

Filem ini membariskan pelakon Pekin Ibrahim serta enam pelakon kanak-kanak yang dipilih melalui sesi uji bakat iaitu Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Deen dan Amir Kuziq sebagai tonggak utama.

Turut membintangi filem ini Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Zaidi Omar, Farah Ahmad, Azman Hassan, Kamal, Rezuan, Ieda Moin dan Arumugam A/L Vedan.

BACA SINI: Hannah Yeoh Approved! Jom Tonton Tayangan Perdana Gemencheh Boys Sebelum Ke Panggung!