Jika selalunya cerita aksi permotoran sering menampilkan Kuala Lumpur sebagai latar tempat, namun, menerusi filem Marabahaya Underground, bandaraya Ipoh, Perak menjadi lokasi utama sepanjang penggambaran.

Menurut pengarah filem Marabahaya Underground, Cat Farish, dia berasa sungguh terharu kerana diberi peluang untuk menjadikan negeri kelahirannya itu sebagai latar tempat utama dalam filem perdana arahannya.

“Boleh dikatakan hampir 60 peratus penggambaran dijalankan di Ipoh, Perak. Saya berasa terharu kerana diberi kebenaran untuk menjalankan penggambaran di sana. Jadi banyak tempat-tempat menarik boleh disaksikan dalam filem ini.

“Selain itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) turut memberikan kemudahan kepada kami dari segi penginapan. Syukur alhamdulillah,” katanya kepada Gempak.

Namun, menurut Cat, aksi drift di Kuala Lumpur merupakan proses yang agak sukar untuk dilaksanakan sepanjang penggambaran.

“Bukan mudah nak drift depan KLCC. Tapi saya bernasib baik kerana mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa ketika menjayakan penggambaran pada waktu itu,” katanya sambil mengakui berpuas hati dengan hasil filem berkenaan secara keseluruhan.

Marabahaya Underground mengisahkan tentang Chon (Hazama) peminat sukan permotoran dan sangat mengidolakan Shah Dhani (Joey Daud), iaitu seorang raja drift Malaya. Namun, Shah Dhani juga merupakan seorang yang banyak hutang dan kaki judi.

Shah Dhani menggunakan Chon untuk melepaskan dirinya daripada hutang dan berjanji untuk menjadikan Chon anak didiknya dalam dunia ‘drift’ di Malaysia. Shah Dhani yang berhutang dgn Dotty (Jasmin Suraya) terpaksa melibatkan Chon di dalam kancah pekerjaan penghantaran duit dan barang terlarang tanpa pengetahuan Chon.

Pelakon-pelakon lain yang turut menghiasi filem terbitan produksi D’edge Communication ini adalah Santesh Kumar, Dayana Roza, Scha Elinnea dan Amzarul.

Manakala bagi penampilan istimewa seperti, wajah-wajah popular seperti Wahid Senario, Hamdan Senario, Amir Raja Lawak, Zalif Sidek serta Pelumba Supercar Negara, Zen Low, Pelumba Kereta Negara, Keifli Othman, Drifter Negara, Jian Hui Wong, dan Pelumba Rally Negara, Faizal Alang turut menghiasi Marabahaya Underground.

Filem Marabahaya Underground boleh mula ditonton di saluran Astro First bermula 2 Disember ini.