Sekilas
- Mawi memastikan konsert The Journey Of "Mawi World" akan diteruskan seperti dirancang walaupun jadualnya bertembung dengan penyertaannya dalam Gegar Vaganza Fantasia (GVF).
- Beliau sedang menyusun jadual terbaik untuk memastikan kedua-dua komitmen dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan mana-mana pihak.
- GV13 akan bersiaran selama 11 minggu setiap Ahad, menampilkan barisan peserta dan juri terkenal serta hos popular di Astro Ria dan platform digital.
Bintang Gegar Vaganza Fantasia (GVF), Mawi memberi jaminan konsert The Journey Of "Mawi World" tidak akan ditunda meskipun jadualnya bertembung dengan komitmennya menyertai program realiti nyanyian berkenaan.
Menurut Mawi, peminat yang sudah mendapatkan tiket tidak perlu bimbang kerana konsert tersebut tetap akan diteruskan seperti yang dirancang.
"Yang dah beli tiket jangan risau sebab konsert tetap akan berjalan dan ia tidak akan ditunda. Sama juga dengan GVF, ia tetap akan berjalan dan saya akan ada di GVF.
"Jangan risau, kita akan bagi benda ini jadi. Kami akan buat magic," katanya kepada Gempak.
Mengulas lanjut, Mawi mengakui masih lagi berbincang dan menyusun jadual terbaik bagi memastikan kedua-dua komitmen dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan mana-mana pihak.
"Konsert itu memang kita dah rancang lebih awal sebelum datangnya tawaran GVF, jadi ia masih lagi dalam perbincangan tentang bagaimana nak berada di dua tempat.
"Kami masih lagi menyusun supaya semuanya berjalan lancar, tetapi kami perlu berada di dua tempat itu," tambahnya.
Konsert The Journey Of "MAWI WORLD" itu turut menampilkan beberapa penyanyi lain antaranya Akhil Hayy, Daly Filsuf, Felix Agus, Datuk AC Mizal dan Datuk Aznil Hj Nawawi.
Sekadar info, GV13 bakal menampilkan Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Mila, Stacy, Shahir, Faizul dan juga Firman berentap untuk merebut gelaran juara di pentas berprestij ini.
Menambahkan lagi keterujaan musim ini, GV13 akan terus digerakkan oleh trio hos kegemaran ramai iaitu Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad.
Sementara itu, barisan juri pula masih mengekalkan tiga nama besar yang cukup dihormati dalam industri muzik, iaitu Dato’ Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
Berlangsung selama 11 minggu, ‘GV13’ akan bersiaran setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam.
Program ini turut boleh distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan Sooka.