Selepas kejayaan filem Paskal The Movie dua tahun lalu, satu lagi tribut kepada pahlawan negara akan menemui anda tidak lama lagi.

Ya! Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa akan mula ditayangkan pada Ogos ini.

Filem ini bakal menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Aiman Hakim Ridza, Nas-T, Luqman Hafidz, Johan As'ari, Pablo Amirul, Sara Ali, Anas Ridzuan, Scha Alyahya dan ramai lagi.

Diarahkan oleh Zulkarnain Azhar, filem ini mengisahkan tentang Ketua Pasukan Khas Laut (Paskal), Kapten Adib (watak yang dipegang Nas) dan Major Adnan (Adi Putra) yang melindungi pelarian dalam Perang Dunia Ketiga.

Mereka telah dibantu oleh Tentera Udara Diraja Malaysia, yang mana juruterbang pejuang ACE adalah Zafran iaitu abang ipar kepada Adib.

Menurut Zulkarnain, penggambaran filem tersebut mengambil masa 76 hari pada Mac dan Oktober hingga Disember tahun lalu.

"Agak sukar dengan keadaan kita yang berada dalam PKP, tapi saya bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan semua orang yang hebat.

"Kami juga dapat menyelesaikan penggambaran dengan lancar tanpa sebarang masalah," katanya pada pelancaran filem di GSC Mid Valley Megamall pada Selasa.

Tambah Zulkarnain, bintang utama filem ini juga telah menjalani latihan ketenteraan selama sebulan sebelum ke set penggambaran.

"Bintang utama filem ini juga telah menghabiskan masa selama sebulan di Pusat Latihan Asas Ketenteraan di Banting, Selangor.

"Meskipun latihan itu adalah latihan sebenar untuk tentera dan juruterbang pejuang, namun barisan pelakon ini berjaya menghabiskannya," katanya.

Untuk makluman, penggambaran filem ini diadakan di kawasan luar bandar Kuantan, Pahang, Kuala Terengganu, Shah Alam, Alor Setar dan Kota Belud, Sabah.

Air Force The Movie disokong oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dilancarkan oleh Ketua General ATM, Tan Sri Affendi Buang.

"Rakyat Malaysia sangat menantikan filem berkualiti yang akan memberi inspirasi kepada mereka," kata Affendi.

Tambah beliau, pendekatan baru dan segar untuk membangkitkan semangat patriotik adalah sangat penting pada masa kini.

"Kita perlukan pendekatan yang segar untuk membangkitkan semangat patriotik dan menghargai lelaki dan wanita beruniform yang berkhidmat kepada keselamatan negara," katanya lagi.

Air Force The Movie adalah sebahagian daripada kempen Jom #SapotLokal Filem 2021 hasil kerjasama Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro dan Six Fun Media.

Kempen ini mempromosikan enam filem yang akan ditayangkan tahun ini.

Filem-filem lain yang akan menemui anda adalah Biko, Rasuk, Wayang Puaka, Rumah Madu Ku Berhantu dan komedi 3 Janda.

Jangan lepaskan peluang menyaksikannya!