Tatkala ramai yang menyambut baik pelancaran filem-filem baharu di platform penstriman, lain pula ceritanya dengan pengarah filem Wonder Woman, Patty Jenkins.

Menerusi temu bual yang disiarkan di LA Times baru-baru ini, sutradara berusia 50 tahun itu menyifatkan filem-filem yang ditayangkan di platform penstriman sebagai ‘fake’.

“Kamu tak perasan ke? Maaflah, filem-filem yang dilancarkan di platform penstriman, semuanya nampak macam filem palsu (fake) bagi saya.

“Saya tak dengar dan baca tentang filem-filem itu. Pelancaran sebegitu tidak menjadikan sesebuah filem sebagai satu karya yang bersifat legenda.

“Saya tak rasa Wonder Woman 1984 dilihat sama menerusi platform penstriman,” katanya.

Jenkins turut mengarahkan filem perdana daripada siri filem adiwira itu iaitu Wonder Woman pada 2017. Filem lakonan Gal Gadot itu meraih kutipan sebanyak AS$822 juta (RM4.3 bilon) di seluruh dunia.

Dalam masa sama, Jenkins menambah yang platform penstriman hanya sesuai untuk mereka yang suka menonton drama bersiri.

“Filem yang dibikin dan ditayangkan di pawagam memberi pengalaman berbeza kepada penonton.

“Bagi saya, platform penstriman hanya sesuai untuk drama bersiri tetapi tidak untuk filem,” katanya lagi.