Penyanyi dan pelakon Hazama mencuri tumpuan wargamaya apabila bakal muncul dalam episod kedua Kampong Pisang Bersiri-siri karya pengarah tersohor Mamat Khalid.

Menerusi laman sosial Instagram, Hazama berkongsi teaser terbaharu episod kedua siri itu untuk tatapan umum.

“Minggu depan, Kampong Pisang Bersiri-siri bawakan episod 2, Hantu Rempit dengan penampilan khas Hazama sebagai Firdaus, anak Pak Karim!” tulisnya di ruangan kapsyen.

Menerusi teaser tersebut, Hazama memegang watak sebagai Firdaus, anak kepada Pak Karim lakonan Mat London dan Kak Som (Elliy Suriaty) yang gemar menunggang motosikal secara berbahaya di sekitar kawasan kampung.

Firdaus kemudian menghilang sehingga ibunya menangis kerana merinduinya.

Firdaus berjaya pulang akan tetapi seluruh penduduk Kampung Pisang diganggu oleh hantu rempit dan menyebabkan seluruh penduduk menjadi kecoh.

Kampong Pisang Bersiri-siri menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais terdahulu antaranya, Pak Jabit dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah), Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar, Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan penampilan watak Barkoba daripada 16 dan 17 Puasa.

Malah, turut memperkenalkan watak sampingan baru seperti Pak Kasim, Pak Din ‘Pest Control’, Pak Karim dan Cik Chun.

Kampong Pisang Bersiri-Siri bersiaran sebanyak 12 episod bermula 7 Disember ini, setiap Isnin, pukul 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).