Laman Utama
#FoodiesLife: Wajib Masuk List! Ini 6 Jenis Durian Yang Sering Dicari Pencinta Raja Buah
Durian adalah buah yang sangat dinanti-nantikan kemunculan musimnya.
Apabila tiba musimnya, pasti membuatkan penggemar tegar durian tersenyum lebar.
Bagi peminat setia durian, harga bukanlah menjadi satu masalah, yang sering diutamakan sebelum membeli adalah jenis durian tersebut.Tahukah anda durian mempunyai pelbagai jenis di pasaran?
Hari ini, #FoodiesLife kongsikan enam jenis durian yang sering menjadi pilihan pembeli:
1. Musang King
Juga digelar durian king atau raja segala buah kerana isinya yang sangat sedap dan berlemak. Ada juga rasa sedikit pahit berbanding dengan durian lain.
Musang King antara buah yang lambat rosak oleh sebab itu durian ini menjadi antara klon yang wajib ditanam secara komersial.
Di pasaran, dianggarkan harga sekilogram ialah sekitar RM30 hingga RM100.
2. IOI
Panggilan lain untuk IOI adalah Durian Mas Muar atau Hajjah Hasmah.
Harga jualan terkini untuk buah jenis IOI adalah bermula RM30 hingga RM35 untuk sekilogram.
3. D24
D24 atau durian Sultan mudah untuk dikenalpasti dan ditemui. Sebelum kewujudan Musang King, D24 amat terkenal.
Berwarna kuning pucat, isinya mempunyai tekstur tebal dan lembut.
4. Udang Merah
Sekiranya anda lebih gemar rasa yang manis, Udang Merah pasti akan memikat selera anda.
Berasal dari Balik Pulau, durian baka kahwin ini menghasilkan isi berulas halus, berwarna kuning jingga kemerahan dan setiap biji mempunyai lapisan krim yang sangat menyelerakan.
Di pasaran, Udang Merah dijual dengan harga RM30 untuk sekilogram.
5. Duri Hitam
Pernah dengar durian Duri Hitam atau nama lainnya adalah Black Thorn?
Dikatakan jauh lebih enak daripada Musang King, durian premium dari Sungai Bakap, Pulau Pinang ini semakin menjadi buruan 'hantu durian'.
Kod durian D200 ini semakin mendapat perhatian penanam durian di seluruh negara kerana keenakan dan aromanya yang sangat sedap serta isinya yang berwarna oren.
Difahamkan harga sekilo durian ini boleh mencecah RM100 ke atas.
6. Durian Kampung
Dalam lautan pelbagai jenis durian hibrid yang mencuri perhatian, masih ramai yang setia menikmati durian kampung.
Ini kerana durian kampung paling mudah dijumpai dengan harga murah.
Di pasaran, durian kampung dijual dengan harga antara RM8 hingga RM22 sekilogram.
Sumber Foto: Google
***
NOTA: #FoodiesLife merupakan satu artikel yang menceritakan dari pelbagai sudut tentang makanan. Bukan hanya tertumpu kepada resipi sahaja.
Must-Watch Video