Bermatlamat menghidupkan semula nasyid yang mereka rindui, kumpulan terbaharu, ZAWFAN tampil dengan lagu berjudul Bismillahir Rahmanir Rahim bersama Nazrey Johani.

Menurut salah seorang ahli ZAWFAN, Fadzli Radzi, lagu tersebut dihasilkan dari pelbagai unsur dan pengaruh selain mempunyai ciri-ciri muzik Islam sejagat.

“Dari sudut pandang muzik, didapati lagu ini mengambil dari pelbagai unsur dan pengaruh antaranya Nusantara, Timur Tengah, Eropah, Asia dan Amerika Latin.

“Ini bukan sesuatu yang asing dalam nasyid asalnya kerana ciri-ciri muzik Islam yang sejagat sifatnya seharusnya mengambil dan memanfaatkan seluruh tradisi kemanusiaan baik dari Timur mahupun Barat,” katanya.

Sementara itu, Yasir yang juga ahli kumpulan tersebut memberitahu kolaborasi bekas penyanyi utama kumpulan Raihan merupakan gabungan suara yang padu.

“Malah gabungan penyanyi utama kumpulan ZAWFAN, Yasir Tamizi dan bekas penyanyi utama kumpulan Raihan, Nazrey Johani adalah satu kolaborasi suara yang padu dan sangat baik, kami rasakan.

“Vokal kedua-duanya saling melengkapi, dengan penyampaian yang sederhana berjaya menggamit pendengar pada irama yang asal seperti di awal kemunculan Raihan dahulu,” katanya.

ZAWFAN yang dianggotai oleh Hafiz Tarmizi, Fadzil Radzi dan Yasir Tarmizi.