Laman Utama
Gadis 15 Tahun Didakwa Hilang Yang Dikongsi Aaron Aziz Ditemui Di Rumah Kekasih
Gadis yang didakwa hilang pada 31 Mei lalu yang turut dikongsikan oleh aktor Datuk Aaron Aziz dilaporkan sudah ditemui oleh polis.
Namun gadis berusia 15 tahun itu dijumpai oleh polis di rumah teman lelakinya di Padang Jawa, semalam.
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam melancarkan operasi mengesan gadis berkenaan di sekitar Shah Alam.
"IPD Shah Alam melancarkan Ops Jejak bagi mengesan gadis terbabit dan kira-kira jam 4 pagi tadi (semalam), kita berjaya menemui remaja berumur 15 tahun itu di sebuah kondominium di Padang Jawa.
"Gadis itu ditemui dalam keadaan baik dan polis mendapati dia duduk bersama teman lelakinya di rumah sewa lelaki itu," katanya.
Terdahulu, orang ramai termasuk Aaron menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya berkongsi maklumat mengenai gadis yang hilang itu bersama maklumat terperinci bagi membantu keluarganya mencari anak mereka.
Namun hantaran ini baru sahaja dipadam oleh Aaron.
Bagaimana pun menurut Baharuddin teman lelaki remaja berkenaan yang berumur 19 tahun ditahan di lokasi sama.
"Teman lelakinya sudah ditahan untuk direman dan polis akan teruskan siasatan lanjut.
"Dia disiasat atas kesalahan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.
Sementara bapa kepada remaja itu juga sudah membuat laporan yang anaknya dirogol hari ini.
Media sebelum ini, melaporkan polis menerima laporan mengenai seorang remaja perempuan hilang ketika keluar bermain papan luncur di taman berdekatan rumahnya pada 31 Mei lalu.
Bapa mangsa hadir ke Balai Polis Seksyen 9 pada jam 11.28 malam Selasa lalu membuat laporan mengenai kehilangan anaknya.
Berita kehilangan gadis itu tular di media sosial di mana lokasi terakhir remaja itu dilihat di Seksyen 7 iaitu dalam kawasan taman perumahan.
Must-Watch Video