Skip to main content

Filem

Filem Malaysia Makin Laku! Lebih 10 Naskhah Cecah Kutipan RM10 Juta Tahun Ini

Filem Malaysia Makin Laku! Lebih 10 Naskhah Cecah Kutipan RM10 Juta Tahun Ini

Sekilas

  • Lebih 10 filem tempatan berjaya mencatat kutipan melebihi RM10 juta tahun ini, menunjukkan perkembangan positif industri perfileman Malaysia.
  • Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) memperkenalkan sistem penjurian baharu dengan 58 juri untuk memastikan ketelusan dan keputusan yang adil.
  • FINAS terus memperkukuh kerjasama antarabangsa dan program akses pasaran bagi membawa karya tempatan ke peringkat global.
Advertisement

Industri perfileman Malaysia menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila lebih 10 filem tempatan berjaya mencatat kutipan melebihi RM10 juta sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pencapaian tersebut sekali gus memenuhi sasaran yang ditetapkan pihaknya pada awal tahun.

Advertisement

Menurut Azmir, perkembangan positif itu membuktikan industri perfileman tempatan semakin kukuh, bukan sahaja dari segi kutipan pawagam, malah kualiti penerbitan, penceritaan dan mutu lakonan.

“Alhamdulillah, industri filem dan televisyen negara semakin berkembang, bukan sahaja dari segi kualiti pembikinan, malah kekuatan penceritaan dan mutu lakonan.

“Jika dahulu hanya dua atau tiga filem setahun mampu mencatat kutipan melebihi RM10 juta, tahun ini kita berjaya mencapai sasaran lebih 10 filem.

“Pencapaian ini membuktikan karya tempatan semakin berkualiti, diterima penonton dan mempunyai potensi untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Azmir berkata demikian ketika mengulas perkembangan industri perfileman negara bersempena penganjuran Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35).

Dalam masa sama, beliau memaklumkan peningkatan kualiti filem tempatan turut memberi cabaran kepada barisan juri FFM35 untuk menentukan karya terbaik berikutan persaingan sengit antara filem yang bertanding.

Advertisement

Malah, sambutan terhadap karya Malaysia di platform penstriman antarabangsa turut dilihat sebagai petanda bahawa kandungan tempatan mempunyai nilai komersial dan potensi untuk menembusi pasaran lebih luas.

Mengulas penganjuran FFM35, Azmir berkata, FINAS mahu menjadikan festival berkenaan sebagai acara tahunan utama yang bukan sekadar mengiktiraf pencapaian penggiat seni, tetapi turut menyatukan seluruh warga industri.

“Kita mahu FFM menjadi medan seluruh penggiat industri meraikan kejayaan rakan seperjuangan, selain mendekatkan masyarakat dengan perkembangan perfileman negara.

“Sebagai dorongan kepada penghasilan karya yang lebih cemerlang, pemenang Filem Terbaik FFM35 turut menerima dana RM1 juta untuk membantu mereka meneruskan usaha menghasilkan filem berkualiti,” katanya.

Sementara itu, FINAS turut memperkenalkan sistem penjurian baharu buat pertama kali pada FFM35 dengan mengekalkan lapan juri profesional serta menambah 50 juri industri yang terdiri daripada bekas pemenang FFM dan pensyarah universiti.

Menurut Azmir, proses penilaian dijalankan secara dalam talian dengan identiti juri industri dirahsiakan antara satu sama lain, termasuk daripada juri profesional, bagi memastikan keputusan dibuat secara bebas dan telus.

“Pada peringkat awal, terdapat beberapa persoalan daripada juri profesional mengenai kaedah pemarkahan dan proses perbincangan.

“Bagaimanapun, selepas keseluruhan proses selesai, mereka sendiri terkejut apabila mendapati keputusan 50 juri industri adalah selari dengan penilaian juri profesional.

“Ini membuktikan pendekatan baharu tersebut mampu memperkukuh ketelusan dan memastikan keputusan tidak bergantung kepada pertimbangan individu semata-mata,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Azmir berkata, tema ‘Spektrum Sinema’ yang dipilih bagi FFM35 mencerminkan kepelbagaian bahasa, budaya, genre dan kreativiti industri perfileman Malaysia.

Katanya, lima calon Filem Terbaik kali ini merangkumi karya berbahasa Melayu, Mandarin dan Tamil, selain menampilkan pelbagai genre termasuk aksi, komedi, seram serta filem bercorak festival.

Bagi memperluas capaian antarabangsa, FINAS juga akan terus memperkukuh program ‘Market Access’ melalui penyertaan dalam pasaran industri global seperti MIPCOM, Hong Kong FILMART dan Asia TV Forum & Market (ATF).

Kerjasama strategik dengan platform penstriman antarabangsa termasuk Netflix, iQIYI dan Viu turut menjadi antara usaha membawa kandungan Malaysia kepada penonton luar negara.

Selain itu, FINAS merancang untuk mengumumkan kerjasama baharu dengan Indonesia, termasuk program ‘Malay Script Lab’ yang memberi tumpuan kepada pembangunan skrip dan penerbitan bersama.

“Malaysia mempunyai banyak karya berkualiti dengan identiti budaya dan kekuatan penceritaan tersendiri.

“Melalui kerjasama penerbitan, akses pasaran dan jaringan strategik antarabangsa, kita mahu memastikan filem Malaysia bukan sahaja berjaya di negara sendiri, tetapi mampu menembusi pasaran lebih luas serta membina kedudukan yang lebih kukuh dalam industri perfileman global,” katanya.

Anda mungkin berminat dengan

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

POP MART DIMOO Moments in Bloom Series Figures

POP MART DIMOO Moments in Bloom Series Figures

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

MERCEDES - AMG PETRONAS FORMULA 1 TEAM ENGINEERS POLO - BLACK

MERCEDES - AMG PETRONAS FORMULA 1 TEAM ENGINEERS POLO - BLACK

adidas Lifestyle ADIDAS DISNEY BACKPACK Unisex Blue KA9881

adidas Lifestyle ADIDAS DISNEY BACKPACK Unisex Blue KA9881

adidas Football WORLD CUP OFFICIAL EMBLEM CAP Unisex Black KE7368

adidas Football WORLD CUP OFFICIAL EMBLEM CAP Unisex Black KE7368

Must Watch Video

Advertisement
Advertisement