Sekilas
- Pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical 2026 telah melabuhkan tirai selepas lebih 20 persembahan yang mendapat sambutan hangat dari penonton.
- Mila Mohsin, anak kepada pengarah Puan Sri Tiara Jaquelina, berjaya membuktikan kemampuan membawa watak utama walaupun menerima pelbagai kritikan sebelum ini.
- Pementasan ini akan diteruskan di Singapura tahun depan dan kemungkinan besar akan ada musim kedua di Malaysia berdasarkan sambutan penonton.
Pementasan paling epik Puteri Gunung Ledang (PGL) The Musical 2026 usai melabuhkan tirai menerusi persembahan grand finale pada 17 November 2026 menerusi lebih 20 buah pementasan.
Usai gemerlap lampu pentas terpadam, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) lenggang dengan sorak sorai ribuan penonton, PGL telah meninggalkan terlalu banyak kenangan bukan hanya buat seluruh produksi tetapi peminat yang menjadi saksi nyata sebuah pementasan spektakular yang dipertontonkan.
Tentu sahaja, kesan paling besar dan dalam mengenai PGL turut dirasai oleh sutradaranya, Puan Sri Tiara Jaquelina.
Dan salah satu hal yang sangat membuat dirinya sangat tersentuh adalah melihat anaknya, Mila Mohsin dalam konteks seorang pengarah sementara gadis manis penuh santun itu kembali menghidupkan roh Puteri Gunung Ledang di luar ekspektasinya.
Puteri Gunung Ledang atau Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumillah adakah karakter ikonik yang dihidupkan Tiara terlebih dahulu menerusi naskhah filem serta pementasan musim pertama lebih dua dekad lalu.
Dengan kualiti dan maklum balas yang diterima dalam kalangan peminat, Tiara bersyukur serta lega apabila Mila telah membenamkan segala kritikan dan persoalan mengenai kelayakannya membawa watak Puteri Gunung Ledang.
Tanpa perlu mempertahankan diri secara berlebihan, Mila akhirnya memberikan jawapan menerusi persembahan di pentas yang nyata meninggalkan kesan luar biasa bukan hanya kepada penonton tetapi buat Tiara sendiri.
Bagi Tiara, pengalaman menyaksikan Mila di atas pentas bukan sekadar momen seorang ibu melihat anaknya membuat persembahan, sebaliknya satu pengalaman yang membuatkan beliau sendiri sukar mempercayai perubahan dan kemampuan yang ditampilkan.
Katanya lagi, penampilan Mila dengan kostum serta penggayaan rambut watak Puteri Gunung Ledang, ditambah dengan pencahayaan dan elemen visual pentas, memberikan impak yang cukup berbeza.
“Saya menonton persembahan Mila pada malam pembukaan. Saya duduk si sebelah Datuk Yusry Abdul Halim yang bertanggungjawab terhadap grafik visual.
“Kami melihat Mila di atas pentas dan saya sendiri tidak percaya. Dia seperti benar-benar masuk ke dalam watak itu (Puteri Gunung Ledang).
“Saya terkejut. Saya tidak menyangka dia akan menjadi sebegini. Susah untuk saya gambarkan perasaan itu.
“Saya sangat bangga sebagai pengarah, tetapi sebagai seorang ibu, saya jauh lebih bangga,” ujar Tiara yang ditemui pada malam ke-18 pementasan PGL.
Namun, di sebalik rasa bangga tersebut, Tiara sedar perjalanan Mila untuk sampai ke tahap tersebut bukanlah tanpa cabaran.
Pemilihan Mila sebagai peneraju watak Puteri Gunung Ledang sebelum ini turut mengundang pelbagai reaksi, termasuk persoalan mengenai pengalaman dan kemampuannya membawa karakter besar yang mempunyai nilai tersendiri dalam industri seni tanah air.
Tidak terlepas daripada tanggapan bahawa peluang tersebut diberikan atas faktor hubungan kekeluargaan, Mila berdepan jangkaan tinggi untuk membuktikan dirinya layak berada di pentas berkenaan.
Bagaimanapun, Tiara memilih untuk ‘melupakan’ kritikan berkenaan dengan polemik, sebaliknya kekal fokus terhadap produksi sekaligus mengingatkan anaknya, jawapan terbaik terhadap segala persoalan adalah melalui hasil kerja sendiri.
Kini, hasil kerja keras Mila terjawab. Dia telah berusaha memenuhi tuntutan watak yang bukan calang-calang dengan disiplin, kerja keras, komitmen dan kemampuan menggalas tanggungjawab yang diberikan.
“Mila telah buktikan hasil kerja dia. Dia mampu lakukannya,” ujar Tiara penuh bahagia.
Usai PGL melabuhkan tirai, pementasan ini akan menyapa peminat di Singapura yang dijadual pada tahun hadapan. Tiara juga tidak menolak untuk mementaskan PGL musim ke dua di tanah air melihatkan antusias penonton terhadap naskhah tersebut.