Syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio Sdn Bhd melakar sejarah apabila memeterai perjanjian dengan tiga platform OTT terbesar di China dengan menayangkan filem pertama, Gadis Jolobu The Movie arahan CL Hor.

Tiga platform OTT terbesar menjadi pilihan iaitu Bestv, Youku dan Yongoo.

Pengasas Bersama Zebra Studio dan Penerbit Eksekutif, Saraleana Nattaya Azmi, berkata kejayaan menembusi pasaran China dapat mempromosikan filem dan budaya Malaysia ke peringkat global.

Selain itu, katanya, filem Gadis Jolobu The Movie yang berjaya meraih kutipan sebanyak RM4 juta bakal ditayangkan di Thailand, Filipina, Indonesia dan Brunei Darussalam, tidak lama lagi.

“Kami tidak menghasilkan filem Gadis Jolobu The Movie untuk pasaran Malaysia sahaja, sebaliknya menyasarkan beberapa negara luar termasuk Asia Tenggara.

“Dalam keadaan industri pawagam yang baru mahu pulih selepas lebih dua tahun terkesan dengan pandemik, sasaran tidak hanya bertumpu dalam negara.

“Jadi, platform OTT di China adalah pilihan terbaik kerana mempunyai liputan lebih meluas berbanding pawagam,” katanya.

Saraleana ditemui pada majlis pelancaran filem Gadis Jolobu The Movie menerusi platform penyiaran digital tele-virtual OTT di Malaysia, Get Play, minggu lalu.

Gadis Jolobu di OTT China

Tambah Saraleana, China mengehadkan rakyat ke pawagam, malah, hanya 40 filem antarabangsa dibenarkan ditayangkan dalam tempoh setahun dalam musim pandemik.

“Jadi, langkah terbaik dengan memilih platform OTT kerana ia juga menjadi trend seluruh dunia. Selain itu, setiap daerah di China mempunyai saluran televisyen (TV) sendiri.

“Jadi, keputusan menayangkan filem Gadis Jolobu The Movie di platform OTT adalah langkah terbaik, buat masa ini,” katanya.



Filem Gadis Jolobu The Movie yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini menampilkan bintang senior, Datuk Hattan, Khir Rahman, Joey Daud dan memperkenalkan bakat baharu, Ahirine Ahirudin selaku teraju utama.

Menerusi perbincangan rangkaian OTT, Saraleana berkata, pihaknya mendapat maklum balas cukup positif apabila pembekal OTT mengagumi keindahan kawasan perkampungan yang ditonjolkan dalam filem Gadis Jolobu The Movie.

Cabaran masuk sarikata

Saraleana berkata, ada pembekal OTT berpandangan Malaysia sebuah negara moden, membangun dan hanya dikelilingi bangunan pencakar langit seperti KLCC dan Menara Kuala Lumpur.

“Di China mempunyai banyak kampung, namun, pembekal OTT cukup kagum dengan keindahan kampung, budaya dan tradisi di Malaysia selepas menonton pelan pemasaran filem.

“Tarikan filem Gadis Jolobu The Movie lebih kepada sinematografi. Disebabkan itu, kami tidak memaparkan jalan cerita berat, malah, penggunaan dialek Negeri Sembilan dan adat juga terlalu banyak ditonjolkan kerana enggan penonton luar keliru.

“Bagaimanapun, saya mengakui proses memasukkan sari kata agak mencabar kerana penggunaan dialek Negeri Sembilan dalam filem,” katanya.



Selain itu, katanya, filem Gadis Jolobu The Movie kini boleh ditonton menerusi platform Get Play bermula 26 Ogos ini. Tawaran istimewa diberikan kepada pengguna platform Get Play antara 26 Ogos hingga 8 September ini..

Mengulas mengenai platform Get Play berkonsep baharu, Saraleana berkata, penonton hanya membayar setiap kandungan seperti membeli tiket di pawagam.

“Setiap RM1 langganan akan disalurkan kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan sempena Bulan Kemerdekaan sebagai inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya.