Galak Follow Trend Beli Kotak Misteri? Hukumnya Haram Atau…
Sejak kebelakangan ini, muncul satu trend baru iaitu pembelian barangan dikenali sebagai kotak misteri.
Menerusi beberapa platform media sosial, orang ramai dilihat mula berkongsi hasil pembelian mereka.
Apa yang menghairankan, barangan tersebut sangat rawak dan pembeli memang tidak mengetahui apakah isi kandungannya.
Ada yang mendakwa, ia hasil bungkusan kurier yang telah diketepikan atau ‘reject’.
Disebabkan itu, ramai yang mempersoalkan hukum sebenar membeli barangan tersebut.
Namun, menerusi laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP), difahamkan hukum jual beli kotak misteri adalah tidak sah dan terbatal di sisi Islam.
Menurut jawapan PWWP, jual beli sebegini tidak diharuskan dan terbatal di sisi Syarak kerana tidak menepati rukun dan syarat asas jual beli,
Kesannya, pembeli perlu menyerahkan semula barangan kepada penjual dan penjual hendaklah memulangkan semula wang yang diterima.
Sebagai gambaran ringkas, ‘mystery box’ atau kotak misteri merupakan suatu produk yang tidak diketahui barangannya secara spesifik.
Ia dijual dalam pelbagai platform jualan atas talian juga dikenali dengan nama lain seperti “Kotak Teka-Teki” dan sebagainya.
Kebiasaan modus operandinya, pelanggan akan membeli suatu barang yang diberi nama kotak misteri.
Penamaan tersebut diberikan kerana pembeli berpotensi untuk memenangi suatu produk yang lumayan seperti telefon pintar yang mempunyai spesifikasi tinggi, alat solek berjenama, dan pelbagai lagi dengan nilai bayaran yang rendah.
Dalam masa yang sama, sekiranya pelanggan tidak bernasib baik untuk mendapat barang lumayan tersebut, mereka akan diberikan barang lain sebagai ganti yang mempunyai nilai yang lebih rendah daripada barangan yang diimpikan.
Malah, mereka berkemungkinan menerima barangan yang sangat rendah nilainya jika dibandingkan dengan duit yang dilaburkan.
Justeru, sebarang jual beli ‘mystery box’ seperti yang digambarkan di atas adalah tidak sah dan terbatal.
Hal ini kerana ia tidak menepati rukun dan syarat asas jual beli iaitu barang jualan mestilah diketahui dan ditentukan jenis barangannya secara spesifik.