Sekilas
- Mayat pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya, ditemui di sekolah Yong Peng yang tiada liputan CCTV di lokasi kejadian.
- Kementerian Pendidikan sedang jalankan siasatan dan melaksanakan 11 langkah tambahan termasuk pemasangan CCTV secara berperingkat di sekolah berasrama.
- Polis menahan seorang pelajar lelaki dan beberapa pelajar lain berkaitan kes bunuh tersebut.
Lokasi mayat pelajar perempuan Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, ditemukan di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor, tidak mempunyai liputan kamera litar tertutup (CCTV).
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, sekolah berkenaan bagaimanapun mempunyai CCTV, namun, kemudahan itu tidak dipasang di lokasi kejadian berkenaan.
"Sekolah itu ada CCTV, cuma CCTV itu tidak dipasang di tempat kejadian jenayah itu berlaku," katanya pada sidang media di Parlimen, pada Isnin.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada terdapat sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang dikesan berdasarkan siasatan awal, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, perkara itu masih dalam siasatan pihak berkuasa dan Kementerian Pendidikan (KPM).
"Siasatan kita masih berlangsung. Jadi selepas ini kita akan maklumkan dari semasa ke semasa perkembangan siasatan tersebut," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemeriksaan mengejut atau spot check terhadap barangan peribadi pelajar bagi memastikan mereka tidak membawa barangan berbahaya sememangnya dilaksanakan secara berkala di semua sekolah.
"Spot check ini berlaku secara berkala dan ia memang dilaksanakan di semua sekolah secara berkala.
"Saya ingat itu dalam siasatan PDRM (Polis Diraja Malaysia), kita serah pada PDRM," katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, KPM sedang melaksanakan 11 langkah tambahan bagi meningkatkan keselamatan yang diumumkan pada Oktober tahun lalu mula dilaksanakan secara berperingkat.
"Bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), Fasa 1 membabitkan peruntukan RM3 juta untuk 200 sekolah berasrama dan siap sepenuhnya pada November 2025.
"Fasa kedua pula membabitkan peruntukan RM5 juta bagi pemasangan CCTV di 333 sekolah berasrama dan siap sepenuhnya pada September lalu," tambahnya.
Sementara itu, bagi Fasa 3, kata Fadhlina, sebanyak RM15 juta diperuntukkan pada 2027 untuk pemasangan CCTV di 1,000 sekolah.
Beliau berkata, pelaksanaan pemasangan CCTV itu adalah sebahagian daripada 11 langkah tambahan yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi meningkatkan tahap keselamatan di sekolah.
"Langkah berkenaan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan dan keperluan sekolah, dengan tumpuan diberikan kepada usaha memperkukuh aspek keselamatan warga sekolah," ujarnya.
Beliau memberitahu, KPM turut memberi jaminan aspek keselamatan di sekolah akan terus diberi perhatian susulan kejadian berkenaan.
Dalam kejadian itu, mangsa yang disyaki dibunuh dengan kejam sebelum ditinggalkan di dalam dewan sekolahnya.
Setakat ini, polis menahan reman seorang pelajar lelaki dipercayai rakan sekolahnya.
Juga difahamkan beberapa pelajar lain turut ditahan.
Sumber: AWANI