BERITA
Gara-Gara Bakso Hangus, Wanita Maut Dicekik Teman Lelaki
Misteri kehilangan seorang wanita akhirnya terbongkar apabila polis menemui rangka manusia di sebuah bilik di Bantul, Indonesia, pada 20 Mac 2025.
Bertengkar kerana bakso goreng hangus
Mangsa, EDP, 23, dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya, Muhammad Rafy Ramadhan (MRR), 24, selepas mereka bertengkar kecil mengenai bakso goreng yang hangus.Menurut Ketua Unit Hubungan Masyarakat Polis Bantul, AKP I Nengah Jeffry Prana Widnyana, kejadian berlaku pada 25 September 2024 ketika mangsa sedang memasak bakso tetapi meninggalkan dapur untuk menyapu halaman rumah.
Dalam masa yang sama, suspek sedang mencuci pinggan dan menyedari bakso yang digoreng telah hangus.
Perkara itu mencetuskan kemarahan mangsa, yang kemudian memukul suspek menggunakan penyapu sebanyak lima kali.
Mangsa sempat merayu untuk dilepaskan, namun suspek tidak melepaskannya.“Suspek yang berasa marah kemudian mencekik leher mangsa menggunakan kedua-dua tangannya,” kata Jeffry dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mangsa yang cuba melawan dengan mencakar suspek akhirnya rebah ke lantai.
Suspek kemudian memeriksa nadi mangsa dan mendapati tiada lagi degupan jantung, sementara wajahnya bertukar kebiruan dengan buih keluar dari mulut.
Sembunyi mayat dalam bilik
Selepas membunuh EDP, Rafy menyembunyikan mayat di sebuah bilik sebelum memindahkannya ke rumah sewa di Dawang, Padukuhan Manding, Bantul.Dua minggu kemudian, bau busuk mula menyelubungi rumah sewa berkenaan.“Mayat ditutup dan sempat dibawa jalan-jalan sebelum diletakkan di bilik paling hujung di rumah tersebut,” jelas Jeffry.
Suspek kemudian berpindah ke rumah rakan di Condongcatur, Sleman, sebelum kembali ke lokasi kejadian pada 7 Disember 2024 dan mendapati tubuh mangsa sudah menjadi rangka.
Bimbang rahsianya terbongkar, suspek memasukkan rambut, pakaian, dan barang-barang peribadi mangsa ke dalam beg plastik hitam sebelum membawanya ke Condongcatur dan Kaliurang, Sleman.
Pada 20 Disember 2024, Rafy membawa rangka mangsa ke rumah keluarga EDP di Donotirto, Kretek. Dia juga membakar barang-barang peribadi mangsa, termasuk selimut, baju, dokumen dan barangan lain.
Bagi mengelak kecurigaan, Rafy menyamar sebagai EDP dengan membalas mesej dari telefon bimbit mangsa.
Dia memastikan ahli keluarga dan rakan-rakan masih percaya mangsa masih hidup.
Namun, tindakan Rafy mula menimbulkan syak apabila dia sering menggunakan motosikal milik EDP tanpa kelibat wanita itu sejak sekian lama.
Akhirnya laporan mengenai kehilangan seorang wanita yang tidak dilihat sejak beberapa bulan lalu membawa kepada siasatan polis, yang menemukan kerangka dipercayai milik EDP pada 20 Mac 2025, jam 6 petang waktu tempatan.
Sumber: Awani menerusi Sinar Harian
Must-Watch Video