"Habis barang kita pulang, sampai rumah kita goyang," itu antara jeritan seorang jurujual lelaki memecah suasana hiruk-pikuk di lokasi ikonik Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).

Uniknya, jurujual itu 'lelaki' pada suara, 'wanita' pada luaran!

Ya, perang jual beli di Jalan TAR sudah menjadi tradisi saban tahun setiap kali tiba musim perayaan. Cuma gelagat jurujual lelaki berpakaian wanita lengkap bertudung itu antara paling mencuri tumpuan tahun ini.



Menerusi perkongsian rakaman video di laman sosial Facebook milik Ely Zanei, netizen rata-ratanya terhibur dengan stategi pemasaran lelaki itu untuk menarik pembeli singgah di gerainya.

"Ini abang yang glamor jual tudung kan? Dahulu pakai tudung sahaja, sekarang siap baju kurung pula," tulis Wann Mazlin Mohammad.

"Lawaklah macam-macam peniaga sekarang punya idea nak lakukan jualan," kata Zue Yanna.






Baru dua hari dimuat naik, video itu sudah dikongsi lebih 23,000 pengguna Facebook dan video itu telah ditonton lebih 3 juta kali.

Namun, masih ada segelintir netizen yang kurang gemar dengan taktik pemasaran 'terdesak' hingga sanggup melanggar hukum agama.

"Ini sangat menjelikkan!" tulis Hamdy Behiry.

"Semua suka, pelik juga... Haram lelaki berpakaian seperti wanita dan wanita berpakaian seperti lelaki kan," tegur Ahmad Mubarak.

Hujah itu disokong oleh Baqiyatus Solihat. Katanya; "Allah melaknat lelaki yang berpakaian seperti wanita dan wanita berpakaian seperti lelaki. Rosak ibadah Ramadan apabila dicampur maksiat."





Bagaimanapun, langkah pemasaran jurujual lelaki ini berjaya menggamit pembeli untuk singgah ke gerai jualan pakaiannya.

Jalan TAR merupakan lokasi wajib kunjung setiap kali tibanya musim perayaan seperti Aidilfitri.

Pelbagai barangan kelengkapan raya dijual dengan harga murah termasuk pakaian, biskut raya dan barangan kelengkapan rumah.

Rugi sekiranya anda tidak merasai sendiri kemeriahan bazar Syawal Jalan TAR terutama malam raya, memandangkan barangan jualan akan dilelong dengan harga tidak masuk akal!

Teks oleh: Amri Hassan