Selepas hampir dua tahun ditangguhkan, filem francais X-Men iaitu The New Mutans akhirnya bakal menemui penonton menerusi tayangan di Astro Best.

Biarpun sebelum ini juga terdapat khabar angin di mana filem ini diminta untuk dirakam semula, namun pengarah filem Josh Boone telah mengesahkan bahawa tiada sebarang perubahan yang akan berlaku.

Persoalannya, adakah The New Mutans ini berbaloi ditonton? Apakah yang membezakannya dengan filem X-Men yang lalu?

Ini antara ulasan kami:

Untuk makluman, The New Mutans merupakan filem arahan Josh Boone dibintangi Anya Taylor-Joy, Maisie Williams, Henry Zaga, Blu Hunt, Alice Braga dan pelakon siri popular Stranger Things, Charlie Heaton.

Filem ini bermula dengan agak suspen apabila watak Moonstar lakonan Blu Hunt cuba menyelamatkan diri daripada gangguan misteri.

Babak yang menyebabkan kematian bapa kepada Moonstar ini sebenarnya sangat penting kerana ia menjadi titik tolak bermulanya kisah perjalanan filem ini.
Jadi adakah jalan cerita filem ini agak berat untuk ditonton?

Secara amnya, filem ini akan lebih memfokuskan kepada genre thriller dan seram.

Tidak seperti filem X-Men yang anda pernah tonton, The New Mutants dilihat sebagai satu filem yang berbeza.

Suasana filem ini agak dark, malah tone warna yang agak suram menambahkan lagi elemen misteri itu.

Jalan cerita agak ringkas dan tidak memeningkan, cuma seperti mana filem bergenre thriller, terdapat elemen plot twist yang disimpan sehingga akhir.

Anda kenalah tonton sampai habis untuk merungkai misteri tersebut.

Dari segi pemilihan pelakon dan pengenalan watak, semuanya boleh dikatakan agak bagus, namun tidaklah mengagumkan.

Seperti mana filem X-Men lain, setiap mutans mempunyai keupayaan dan kebolehan tersendiri.

Ada yang mampu berubah menjadi serigala, tidak kurang juga yang boleh bertukar menjadi senjata meriam.



Paling menyerlah adalah watak Magik lakonan Anya Taylor-Joy.

Watak Magik diterjemahkan dengan sangat baik hingga penulis boleh katanya dia telah menyelamatkan filem ini.

Sejauh mana hebatnya Magik, anda perlu tonton The New Mutans.

Untuk soal aksi pula, filem ini boleh dikatakan agak bagus di beberapa babak, namun adakalanya lokasi penggambaran yang agak terhad menyebabkan ia agak kurang kick.

Hampir 90 peratus babak dalam filem ini berlaku di sebuah bangunan yang menjadi tempat ‘perlindungan’ mutans ini.

Secara keseluruhannya, filem ini agak berbeza dengan siri X-Men sebelumnya kerana ia lebih bersifat dark dan misteri.

Namun, jika anda merupakan peminat filem X-Men, gaya garapan berbeza ini mungkin boleh ‘dihadam’ dengan baik menerusi penampilan watak-watak mutans yang baru ini.

Rating Gempak 7.5/10



Sewa di Astro Best (Saluran 481) atau On Demand Store. Hanya sambungkan PVR Box anda ke Wi-Fi dan strim pada bila-bila masa. Muat turun juga aplikasi Astro GO untuk strim filem-filem blokbuster dalam keselesaan rumah anda. Untuk maklumat lanjut, sila ke content.astro.com.my.

Sumber Gambar: Hype.my