Negeri paling kecil di Malaysia, Perlis menjanjikan pelbagai keseronokan yang sesuai untuk percutian hujung minggu anda.

Biar pun ada yang meragui negeri paling utara tanah air ini, rupanya macam-macam ada di Perlis!

Di sini Gempak senaraikan 10 lokasi best untuk anda menjelajah negeri Indera Kayangan ini.



1. Bukit Chabang

Bukit yang terbelah dua ini antara mercu ikonik di Perlis. Dengan ketinggian 390 meter, bukit ini menyediakan trek mendaki dengan struktur batu-batu tajam. Penggemar aktiviti lasak, anda perlu mendapatkan permit dan jurupandu terlatih untuk sampai ke puncak.

2. Lebuhraya Chuping

Lebuhraya Chuping atau sebelum ini lebih dikenali sebagai jalan ladang tebu, menjanjikan panorama indah untuk kaki fotografi. Anda boleh mendapatkan pelbagai sudut untuk bergambar dan sesuai untuk penggemar burung.

3. Hutan Lipur Bukit Ayer

Menjadi salah satu tarikan alam semulajadi yang mendamaikan, air terjun yang mengalir jernih menanti kehadiran anda bersama teman mahupun ahli keluarga. Cukup sesuai untuk aktiviti perkhemahan dan mandi-manda.

4. Empangan Timah Tasoh

Menjadi empangan utama di Perlis, tasik buatan yang terletak 17 kilometer ke utara bandar Kangar ini memiliki keindahan yang mengasyikkan. Boleh dijadikan lokasi bergambar, sesuai dijadikan lokasi untuk jalan-jalan di waktu petang.

5. Padang Besar

Menjadi salah-satu lokasi membeli-belah kegemaran rakyat Malaysia, rugi kalau dah sampai Perlis tapi tak singgah Padang Besar. Terletak di antara sempadan Malaysia – Thailand, anda boleh mendapatkan pelbagai barangan dan makanan enak di sini.

6. Taman Rekreasi Bukit Melati

Antara taman rekreasi yang popular di Perlis, kawasan ini sesuai untuk ahli keluarga atau teman-teman beriadah. Antara tarikan lain yang ada di taman rekreasi ini adalah memerhati burung kerana terdapat beberapa sepsis burung pelbagai warna hinggap di sini.

7. Kuala Perlis

Menjadi pintu utama untuk ke Langkawi, Kuala Perlis juga punya tarikan tersendiri. Petang membawa ke malam merupakan waktu yang sesuai untuk anda letak Kuala Perlis dalam itinerari hanya kerana laksa dan makanan laut! Wajib singgah.

8. Gua Kelam

Merupakan antara gua batu kapur terkenal di utara tanah air, kawasan alam semulajadi ini digemari kerana air terjunnya yang cantik. Terletak di Banjaran Nakawan, gua ini sesuai dijadikan sebagai aktiviti riadah secara berkumpulan.

9. Pulau Batu Layang


Pulau Batu Layang merupakan sebuah pulau kecil yang terletak hampir 20 minit dari pesisir Kuala Sungai Baru – Pantai Kurong Tengar. Pulau tidak berpenghuni ini menjadi lokasi tumpuan bagi ikan lumba-lumba berenang-renang.

10. Arau

Bandar kedua terbesar selepas Kangar ini mempunyai tarikan menarik antaranya Galeri Diraja. Sesuai dengan gelarannya sebagai bandar diraja bagi Perlis, galeri ini menempatkan pelbagai barangan koleksi kesayangan Raja Perlis.