Kembara ke Negeri Di Bawah Bayu tidak akan sempurna jika anda tidak melawat sebuah sungai cantik berlatarbelakangkan gunung tertinggi di Malaysia, Gunung Kinabalu.

Berkesempatan ke Kota Kinabalu baru-baru ini membuka jalan untuk saya melihat sendiri lokasi percutian yang tular, Polumpung Melangkap View Camp Site yang terletak di Kota Belud.

Sebenarnya, tidak susah untuk mencari kawasan kem ini.

Dua jam dari Kota Kinabalu, kawasan ini terletak di tepi jalan raya utama. Dari pekan Kota Belud, ia hanya mengambil masa selama 30 minit dan ada papan tanda arah.



Namun jangan keliru jika ternampak ada beberapa kem Sungai Melangkap kerana deretan Sungai Melengkap sendiri ada lebih kurang tiga kawasan perkhemahan.

Kalau takut tak jumpa tempat ini, gunakan aplikasi Waze untuk mengarah pemanduan anda.

Terletak di belakang rumah pemiliknya, tempat percutian sesuai seisi keluarga ini mengenakan bayaran masuk RM3 untuk dewasa, RM2 untuk kanak-kanak dan percuma untuk warga emas dan kanak-kanak bawah enam tahun.

Tempat ini dibuka setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Kebetulan kehadiran saya di petang Ahad tidak begitu ramai pengunjung, kawasan tempat letak kereta agak kosong.



Selesai membayar, anda perlu turun beberapa anak tangga untuk ke kawasan sungai.

Polumpang Melangkap View Camp Site menawarkan aktiviti bermalam secara perkhemahan untuk anda yang kaki outdoor.

Antara kemudahan yang disediakan adalah tandas, khemah untuk disewa, dewan, kawasan BBQ serta pelampung.

Untuk menginap, anda dikenakan bayaran RM6 untuk dewasa dan RM4 untuk kanak-kanak bawa 12 tahun untuk satu malam.



Dari jauh, anda boleh nampak kelibat puncak Gunung Kinabalu yang jelas dari tapak perkhemahan.

Namun ketika kehadiran kami, cuaca yang agak mendung dan puncaknya segera dilitupi awan.

Untuk anda yang mahu bermain sungai sambil bersaksikan puncak Gunung, ia jelas kelihatan antara pukul 7 pagi hingga 10 pagi dan 3 petang hingga 4 petang.

Menerima sehingga 500 pengunjung setiap minggu, Polumpung Melangkap View Camp Site diuruskan sepenuhnya oleh pemiliknya, Sambatan Gunsalahon, 67, serta keluarganya.



Tapak perkhemahan di tepi Sungai Melangkap ini sebenarnya terhasil daripada gempa bumi berskala 5.9 Ritcher yang melanda Ranau tiga tahun lalu.

Kalau anda bercadang untuk menjelajah Negeri Di Bawah Bayu ini, Polumpung Melangkap View Camp Site adalah destinasi yang wajib anda singgah.

Apa kata sekali sekali cuba aktiviti luar seperti berkhemah dan bayangkan bangun pagi anda disambut udara sejuk dan Gunung Kinabalu! Jika tidak berkhemah, anda juga boleh datang untuk mandi-manda di sungai Melangkap.

Kejernihan airnya yang berada di paras lutut dan peha, kehijauan alam semulajadinya serta aktiviti santai sentiasa menjadi tarikan utama kenapa anda perlu datang ke sini.

Puas hati saya datang jejakkan kaki, merasa sendiri air sungai dan sempat meyaksikan panorama indah Gunung Kinabalu.

Ternyata pemanduan dari Kota Kinabalu cukup berbaloi dan gambar-gambar yang saya ambil di sini, cukup insta-worthy!