Laman Utama
Genap 2 Tahun Siti Sarah Meninggal Dunia, Shuib: “Sarah Tak Ada Dia Sudah Pergi, Tapi Macam Ada Selalu”
Tanggal 9 Ogos 2021 tidak akan pernah dilupakan oleh Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad apabila isteri kesayangan, Siti Sarah Raisuddin berpulang ke Rahmatullah.
Genap dua tahun pemergiannya, Shuib yang sudah mendirikan rumah tangga semula bersama Watie Hanifiah mengaku masih rutin menziarah kubur Sarah.
“Sarah sudah tidak ada dua tahun, tapi (perasaan) dia macam sentiasa ada saja,” ujar Shuib sewaktu ditemui media.
Tambahnya dia tetap rutin menziarah kubur Sarah dan kali terakhir adalah pada hari memperingati pemergian wanita hebat itu pada 9 Ogos lalu.
“Saya pergi ziarah sendiri tanpa anak-anak dan Watie. Insya-Allah saya akan bawa semua ziarah kubur Sarah pada hari minggu ini,” katanya lagi.
Shuib juga memaklumkan dia dan anak-anak tidak pernah melupakan arwah Sarah.
“Selepas solat Isyak, malam Selasa lalu, saya bertanya Talita esok (9 haribulan) hari apa dan dia terus beritahu mengenai genap dua tahun pemergian arwah ibunya.
"Arwah Siti Sarah sentiasa dalam hati saya dan anak-anak. Sudah menjadi rutin kami untuk menitipkan doa buat arwah setiap hari sebelum tidur," katanya lagi.
Malah isterinya kini, Watie juga tidak mempunyai masalah dengan rutin ziarah atau mendoakan kesejahteraan yang dilakukan oleh Shuib dan anak-anak.
“Watie sangat okay, itulah sebab saya pilih dia walaupun mungkin orang tak nampak kenapa. Saya nampak dan susah saya nak cari orang macam Watie. Allah ambil dan gantikan orang yang boleh faham saya,” luah Shuib.
Berita pemergian penyanyi tersebut menjadi perhatian masyarakat bukan hanya kerana Allahyarham seorang selebriti tetapi Sarah meninggal dunia sewaktu berjuang untuk melahirkan anak keempat mereka. Sarah bagaimanapun meninggal dunia selepas melahirkan anak lelaki, Ayash kerana dijangkiti COVID 19.
Must-Watch Video