Sejak Neelofa mengumumkan berniqab pada 15 Oktober lalu, kisah penampilan baharunya itu tidak pernah surut daripada menjadi perhatian bukan sahaja media namun dalam kalangan masyarakat.

Kini setelah lebih satu minggu khalayak melihat selebriti berusia 31 tahun itu berniqab, Neelofa terbuka berkongsi kisah di sebalik keputusannya untuk menutup wajah jelitanya itu daripada pandangan masyarakat.

Segala 'rahsia' dirinya mantap berniqab diluahkan Neelofa dalam sesi siaran langsung di laman Instagram (IG) Naelofar bersama pelakon Perempuan Tanpa Dosa, Unaiya Arshad petang tadi.

Menurut pemilik program bual bicara Next to Neelofa itu, beliau membulatkan hatinya untuk berniqab setelah memahami dengan jelas segala ilmu agama yang diperolehi dalam setiap kelas yang dihadirinya selama ini.

"Saya sudah faham dan tahu. Saya tidak mahu mengabaikannya.

"Saya ikhlas untuk mengamalkannya," kata Neelofa yang turut mengakui jika menjadikan ia sebuah kebiasaan, lebih mudah untuk mantap memakai niqab.



Meski demikian, kata Neelofa segala yang dilakukannya hari ini adalah atas izin Allah. Katanya, Allah boleh menarik apa (berniqab) yang dilakukannya sekarang jika diinginkan.

Neelofa juga mengaku dengan berniqab, selain dapat mengelak fitnah, ia juga bukan bukti bahawa dirinya lebih baik. Sebaliknya dia sedang mendidik diri sendiri menjadi insan yang lebih baik.

Malah dalam siaran langsung tersebut, Neelofa mengaku dirinya berasa bebas dan lebih bahagia sejak memakai niqab.

"Alhamdulillah saya sukakannya dan bahagia. Saya rasa lebih free (bebas) sekarang," katanya yang muncul di sesi siaran langsung itu untuk mempromosikan rekaan terbaharu tudungnya.

Instagram: @neelofa