Bakal bergandingan dengan seorang penyanyi bervokal hebat, Marsha Milan akui teruja untuk tampil membuat persembahan di pentas acara berprestij Gempak Most Wanted Awards 2022 (GMWA 2022) malam ini.

Jelas Marsha, dia berharap penonton GMWA 2022 bakal terhibur dan terpukau dengan gabungan suara mereka berdua yang disifatkan sebagai penyanyi power ballad.

“Ini kali pertama saya bakal bergandingan dengan dia. Sebelum ini kami pernah satu acara bersama, tapi tak pernah duet.

“Saya gelarkan duet kami sebagai double M together bergabung meletop esok. Lagu apa kami akan nyanyi, penonton kena nantikan.

“Saya mungkin tidak selama dia di dalam industri, tetapi apa yang boleh saya kata ini gabungan dua power ballad yang Insyallah bakal memukau penonton di dewan dan di rumah,” katanya kepada Gempak.

Ditanya mengenai pandangan terhadap acara yang julung kali diadakan ini, pelantun lagu Kembali Terang itu berkata ia adalah sebuah anugerah yang mengangkat pencipta konten media sosial selain membantu menaikkan nama artis tempatan yang baharu.

“Saya rasakan dengan ada award begini sangat membantu menaikkan pencipta konten yang sangat berbakat di media sosial.

“Malah dengan ada award begini saya juga dapat lihat banyak bakat-bakat seperti group girl dan penyanyi yang mungkin sebelum jarang muncul di TV, mereka dapat tonjolkan bakat mereka.

“Ramai yang berbakat dalam industri Malaysia. Anugerah ini jadi platform untuk ramai bakat di media sosial dan selebriti baru untuk naik,” ujarnya lagi.

Selain Marsha Milan pasangan duetnya, malam GMWA 2022 bakal menyajikan pelbagai persembahan hebat daripada selebriti popular tanah air termasuk Khai Bahar, Nabila Razali, DeFam, Alyph dan ramai lagi.

Saksikan GMWA 2022 secara langsung di saluran Astro Ria (104) jam 9 malam!