Hiburan
Hadir Ke SPRM Sebagai Saksi, Jalaluddin Hassan Sentiasa Berhati-Hati Dalam Pemilihan Tawaran Kerja - “Tugas Saya Hanya…”
Pelakon Datuk Jalaluddin Hassan memberitahu dia hadir ke Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya pada 6 Februari lalu hanya sebagai saksi kes rasuah melibatkan sebuah syarikat perunding kewangan.
Atas jemputan
Bersyukur segala proses berjalan dengan lancar, Jalaluddin turut berkongsi perasaan teruja dapat bertemu dengan penyanyi Ziana Zain dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar.
“Saya di sana atas jemputan sebagai saksi… tiada istilah ikut ‘pintu belakang’. Kami diarah untuk tunggu dalam kereta dan selepas itu kami dibawa oleh pegawai SPRM.
“Yela, kita datang rumah orang kan… jadi kita ikut arahan orang la. Saya pun hanya datang sebagai saksi dan beri kerjasama kepada mereka. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Mereka (SPRM) sangat peramah, Alhamdulillah.
“Mereka ada hubungi saya tanya okay ke tarikh itu, kalau saya sibuk ke boleh tukar tarikh lain… tapi kalau saya datang waktu ini ada Sheikh Muszapha, Ziana Zain pun ada. Jadi saya seronok la jumpa kawan-kawan la. Begitulah perasaan saya,” katanya kepada Gempak.
ARTIKEL BERKAITAN: Selesai Beri Keterangan, SPRM Tidak Akan Bekukan Akaun Bank Ziana Zain & Jalaluddin Hassan - “Saya Kena Jelaskan Ia…”
ARTIKEL BERKAITAN: Isu Op Sky: Ziana Zain, Jalaluddin Hassan & Sheikh Muszaphar Tiba Di SPRM Untuk Beri Keterangan
ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Hanya Jalankan Tanggungjawab Sebagai Duta" - Isu Ops Sky, Datuk Jalaluddin Sedia Beri Kerjasama Dengan SPRM
Jalaluddin ditemui ketika sidang media tayangan perdana Ramadan Raya Astro 2025 di The Ground KL, Kuala Lumpur pada Khamis.
Tugas sebagai duta
Sentiasa berhati-hati dalam pemilihan tawaran kerja, Jalaluddin turut menjelaskan tugasnya dengan syarikat tersebut hanya sebagai duta sahaja.
“Saya sudah berhati-hati pun, kita pun tak kenal siapa syarikat itu. Kita dipelawa oleh orang tengah untuk bersama-sama dengan syarikat. Kita pun ada bertanya fungsi dan apa tanggungjawab saya.
“Tugas saya hanya buat posting dan ambil gambar untuk promosi saja. Saya pun tak nak cakap lebih sebab kes masih dalam siasatan,” ujarnya.
Satu serbuan
Sementara itu, Jalaluddin berkata dia hanya mengetahui tentang syarikat itu selepas dimaklumkan oleh orang tengah yang menguruskan proses pelantikannya sebagai duta.
“Saya dimaklumkan ada satu serbuan ke atas syarikat itu. Dalam fikiran saya tertanya-tanya juga ‘adakah perkara ini semakin serius?’. Tapi mereka kata jangan risau sebab saya tidak terlibat apa-apa.
“Kemudian saya dapat mesej daripada orang tengah saya beritahu yang saya perlu ke SPRM untuk beri keterangan. Saya pun sendiri tak tahu transaksi syarikat mereka. Sebab tugas saya pun hanya diminta untuk promosi saja,” ujarnya.
SPRM sebelum ini berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan bersama pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM berhubung sindiket pengubahan wang haram yang dipercayai didalangi syarikat perunding kewangan.
Must-Watch Video