HIBURAN
Hael Enggan Buka Mulut Gosip Bertunang
Penyanyi popular, Hael Husaini tampil menepis dakwaan kononnya dia sudah mengikat tali pertunangan dengan Dayang Nurfaizah seperti yang sedang hangat diperkatakan di media sosial ketika ini.
Tenang menjawab persoalan itu, Hael, 36, berkata, segala spekulasi yang timbul tidak datang daripada dirinya dan meminta orang ramai agar mendoakan yang terbaik buat kerjaya seni nyanyian khususnya projek album Antonim Part 2.
"Apa saja yang keluar bukan datang daripada saya. Jadi kepada anda semua, doakan yang terbaik untuk Antonim Part 2," katanya ketika ditemui selepas showcase Hael Husaini Antonim Night yang berlangsung di Nero Event Space, PJPAC, 1 Utama E, malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai keterujaan peminat yang sering 'menjodohkan' mereka, Hael berkata sebagai artis, dia tidak mampu menghalang sebarang kehendak atau bayangan peminat terhadap dirinya.
"Sebagai artis, saya tak boleh halang apa yang peminat inginkan. Bagi saya, kita raikan apa saja yang mereka mahu.
"Saya tak ambil apa yang mereka lakukan itu terlalu serius.
"Saya hanya fokus dengan karier dan akan terus melakukan yang terbaik kepada mereka yang menyokong perjalanan seni saya," katanya.
Terdahulu, tular di TikTok mengenai dakwaan penyanyi itu sudah melangsungkan pertunangan dengan Dayang.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata mengucapkan tahniah kepada pasangan selebriti itu walaupun wajah Hael tidak kelihatan secara jelas.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video